AMPendidikan @ My LNA

Kerjasama MARA, Manipal University dan Yayasan Angkasawan Negara lahirkan lebih ramai doktor perubatan

1.5k

MELAKA, 30 November 2022 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Manipal University College Malaysia (MUCM) dan Yayasan Angkasawan Negara (YAN) serius dalam melaksanakan Program 1 Keluarga 1 Profesional yang mensasarkan pelajar cemerlang dari golongan asnaf dan B40 yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MBBS) dan Pergigian (BDS).

Program ini sekaligus menyokong kepada peningkatan bilangan doktor perubatan dan pergigian dalam kalangan masyarakat Bumiputera.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, YBhg. Tuan Haji Razlan bin Haji Samsuri berkata, usaha yang akan dilaksanakan secara bersama oleh MARA, MUCM dan YAN ini merupakan satu usaha dalam memastikan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya dari golongan B40 dan asnaf dapat melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan dan pergigian yang melibatkan kos pengajian yang tinggi.

Tambah beliau, “ MARA akan memainkan peranan penting dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara dengan memberi penajaan pendidikan kepada yang berkelayakan untuk melahirkan modal insan bertaraf global bagi memenuhi sumber tenaga dalam sektor awam, profesional dan industri negara.

“Untuk tahun 2022, MARA telah berjaya memberikan bantuan pinjaman pelajaran kepada 67,547 orang pelajar melebihi dari sasaran yang telah ditetapkan iaitu 60 ribu pelajar,” katanya dalam ucaptama sempena Program 1 Keluarga 1 Profesional di Manipal University, Melaka pada 29 November 2022.

“Buat masa ini, kita mensasarkan seramai 150 orang pelajar cemerlang dari golongan asnaf dan B40 untuk menjadi doktor perubatan yang boleh meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga kelak sekaligus mampu mewujudkan sebuah negara yang makmur, seimbang dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Seramai 120 orang pelajar terdiri daripada pelajar MRSM Terendak, MRSM Tun Ghaffar Baba, Manipal International University (MIU), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Kolej Matrikulasi Negeri Melaka hadir ke program ini.

Program ini turut memuatkan ceramah motivasi dari Dato’ Dr.Sheikh Muszaphar Shukor, yang berkongsi maklumat berkaitan laluan dan halatuju kerjaya dalam bidang perubatan dan pergigian. Selain itu, beliau turut berkongsi tip-tip kejayaan beliau sepanjang pengajiannya.

Pelajar juga berpeluang mengikuti sesi lawatan ke sekitar kampus bagi merasai pengalaman sebenar sesi pembelajaran di kampus Manipal University College Malaysia (MUCM)

Dalam majlis yang sama , YBhg. Tuan Haji Razlan bin Haji Samsuri turut menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Pelajaran MARA kepada 17 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan pergigian di university tersebut.

Turut hadir ke Program tersebut, Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran, Puan Siti Aminah binti Abdul Kadir, Pengarah MARA Negeri Melaka Encik Nurul Azmi bin Johari, Naib Cancelor MUCM, Prof.Dr Patrick Kee dan “Angkasawan Negara”, Dato’ Dr.Sheikh Muszaphar Shukor merangkap Pengerusi Yayasan Angkasawan Negara.

Lagi Berita Pendidikan :

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles