Politik @ My LNAPRU15

GTA umum lapan calon PRU15

223

PUTRAJAYA, 27 Oktober 2022 (Bernama) – Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan lapan calon dari Pejuang untuk bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Protem GTA Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selain beliau yang akan mempertahankan kerusi Langkawi, dua penyandang kerusi Parlimen iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Amiruddin Hamzah, masing-masing akan bertanding di Jerlun dan Kubang Pasu, Kedah. 

Calon lain ialah Ketua Pejuanita Datin Che Asmah Ibrahim yang akan bertanding di Sepang; Ketua Pejuang Perak Mior Nor Haidir Suhaimi di Tapah; dan Pengerusi penaja GTA Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di Titiwangsa.

Dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Harumaini Omar akan bertanding kerusi Parlimen Hulu Selangor, dan  ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli di Kuala Selangor.

“Calon-calon lain akan diumumkan 2 Nov ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pejuang di sini hari ini.

Beliau berkata GTA menyasarkan untuk bertanding di lebih 100 kerusi Parlimen dan berkemungkinan lebih 120 kerusi selepas parti itu mendapat nama-nama calon dari Johor dan Sabah.

GTA juga katanya akan bertanding dengan menggunakan logo Pejuang, kerana mendakwa pendaftaran gabungan itu belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Dr Mahathir berkata rundingan dengan gabungan itu masih berjalan dan antara yang terlibat dalam rundingan itu ialah dirinya, Timbalan Pengerusi Penaja GTA Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Pejuang Datuk Marzuki Yahya yang mewakili GTA manakala PN diwakili Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kita bagi tempoh dua hari bermula esok (untuk PN putuskan terima kerjasama atau tidak) sebab kita akan putuskan segalanya pada 2 Nov ini,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata perbincangan masih terbuka dan beliau masih menunggu respons daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

– BERNAMA

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

BM @ MY LNAPolitik @ My LNA

Proses Lantikan Ahli SPR Baharu Membelakangi Manifesto dan Semangat Reformasi

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH desak Kerajaan laksana Reformasi Proses Pelantikan Pengerusi SPR & Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 segera

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...