AMSains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Kerajaan komited galakkan penerima penggunaan teknologi digital oleh segenap masyarakat

102

27 Oktober 2022 – Penganjuran Jelajah SayaDigital Keluarga Malaysia @ Kok Lanas merupakan akujanji kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk terus komited dalam menggalakkan penerima gunaan teknologi digital oleh segenap masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada; di bandar mahupun luar bandar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Musa berkata menerusi penguasaan teknologi digital, masyarakat setempat di Kok Lanas turut berpotensi besar untuk menyertai dan menyumbang kepada ekonomi digital negara menerusi ilmu dan pengetahuan yang didapati di Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia.

“Ilmu berfokuskan teknologi digital ini bukan sahaja boleh membantu memudahkan kehidupan seharian masyarakat di Kok Lanas, malah boleh membantu mereka menjana pendapatan tambahan dengan mengguna pakai platform eDagang, sekali gus membantu mereka merebut pelbagai peluang yang terdapat dalam ekonomi digital.

Selain itu, program-program seperti eUsahawan dan Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang mampu meningkatkan keupayaan usahawan untuk menggunapakai teknologi digital dan meningkatkan jualan. Program Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang yang telah saya lancarkan bulan lepas telah mencatat pencapaian yang membanggakan. Ketika ini, sebanyak RM58.65 juta telah berjaya disalurkan kepada Rakyat dalam bentuk potongan harga, rebat, diskaun, yuran pendaftaran dan yuran transaksi.

Manakala lebih RM1.67 bilion jualan dicatatkan, dan telah membantu 241,470 perniagaan di mana sebanyak 91 ribu daripadanya adalah usahawan wanita. Inilah peluang yang harus direbut oleh usahawan di Kok Lanas ini terutamanya usahawan wanita untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran digital demi memajukan diri dan perniagaan.” katanya.

Annuar turut memaklumkan bahawa menerusi program eUsahawan, kerajaan telah berjaya melatih lebih 450 ribu rakyat Malaysia dan seterusnya menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM1.05 bilion.

Tambahnya, Jelajah SayaDigital Keluarga Malaysia @ Kok Lanas memberi tumpuan kepada empat komponen utama, iaitu, Digital Memudahkan Kehidupan, Digital Menambah Pendapatan, Digital Meluaskan Perniagaan dan Digital Memperkasa Kerjaya Masa Hadapan, menerusi pelbagai program di bawah Kempen #SayaDigital MDEC.

“Sebagai contoh, program eUsahawan MDEC yang telah dilaksanakan sejak 2015 berjaya melatih 26,357 usahawan di Kelantan dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM44 juta. Antara usahawan yang berjaya ialah Wan Baijuri Wan Hassan dan Ahmad Azhan Che Omar yang mana perniagaan masing-masing telah meningkat sebanyak 100 peratus dan 200 peratus selepas menyertai program eUsahawan ini.

Sementara itu, program Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) dan program eRezeki di Kelantan telah mencatatkan pendaftaran seramai 31,338 orang sejak ia dibuka pada tahun 2016 dan 647 peserta telah dilatih pada tahun 2021 dan 2022.

Manakala Global Online Workforce (GLOW) telah berjaya membantu melatih 7,369 peserta di Kelantan dan menjana pendapatan terkumpul lebih RM726,000 untuk tahun 2020 dan 2021.” katanya.

Annuar turut berkongsi bahawa beliau dikhabarkan seramai 995 peserta telah berdaftar dan 317 orang telah dilatih di bawah program Kempen #SayaDigital di Kelantan.

“K-KOMM dan MDEC akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai program digital di Kelantan khususnya di Kok Lanas ini pada masa depan dan sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memastikan impak program yang lebih berkesan selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama dan dedikasi yang diberikan untuk menjayakan Jelajah SayaDigital Keluarga Malaysia @ Kok Lanas pada hari ini.” ujarnya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles