Politik @ My LNA

PRU15: Khairy bakal bertanding kerusi Parlimen kini dipegang parti lawan

191

SEREMBAN, 21 Oktober 2022 (Bernama) — Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memberi bayangan bahawa, beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen yang kini disandang wakil parti bukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun kerusi itu belum dimuktamadkan dan masih dalam penilaian pucuk pimpinan BN, Khairy bagaimanapun mengesahkan ia adalah kawasan yang dimenangi parti lawan sebelum ini.

“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi yang dianggap sebagai kerusi selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di sini hari ini.

Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal, sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu.

Mohamad dilaporkan memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Khairy bertanding dalam PRU15 dan tidak akan membiarkan Menteri Kesihatan itu ‘hilang’ begitu sahaja kerana beliau adalah pemimpin muda berkaliber.

Khairy berkata beliau sedia menerima cabaran dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan parti, sekali gus menawan kerusi berkenaan dalam PRU15.

Ditanya sama ada kerusi berkenaan adalah di Negeri Sembilan, Khairy yang enggan mendedahkan perkara itu berkata : “Pelbagai negeri, masih belum ada keputusan akhir. Kita tunggu.”

“Kita semua kena main peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat dan kita tak akan dapat membawa agenda kita secara luas. Jadi kena ada juga yang sanggup pergi ke (kawasan) mungkin sebelum ini kita tidak menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Okt, bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

– BERNAMA

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

BM @ MY LNAPolitik @ My LNA

Proses Lantikan Ahli SPR Baharu Membelakangi Manifesto dan Semangat Reformasi

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH desak Kerajaan laksana Reformasi Proses Pelantikan Pengerusi SPR & Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 segera

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...