Oleh : Dr. Diana Abdul Wahab
Belia merupakan agen utama untuk pembangunan negara mampan, perubahan sosial, pertumbuhan ekonomi, dan inovasi teknologi. Komposisi penduduk di Malaysia menunjukkan belia (umur 15 – 40 tahun) mewakili lebih kurang separuh dari jumlah penduduk. Belia merupakan sumber tenaga yang penting bagi masyarakat negara ini kerana mereka mempunyai semangat juang dan daya cipta yang tinggi, dan dengan sahsiah yang mantap mereka ini mampu menjamin pembangunan negara yang lebih kukuh.
Melihat kepada Bajet 2022 yang lepas yang secara umumnya memfokuskan kesejahteraan rakyat, membina daya tahan perniagaan akibat dari impak pandemik, dan pewujudan ekonomi yang makmur dan mampan. Bajet 2022 merupakan peruntukan terbesar di dalam sejarah negara, di mana RM 23 billion sahaja diperuntukkan bagi menangani COVID-19.
Manfaat dari Bajet 2022 kepada belia termasuklah inisiatif Perantisiswa di mana kerajaan memberikan tablet kepada pelajar B40, inisiatif e-pemula yang menjadi pemangkin perniagaan atas talian, inisiatif JaminKerja iaitu insentif penggajian dan usaha mengambil pekerja rentan, inisiatif padanan caruman PERKESO kepada pekerja sektor informal, dan pemberian geran pendigitalan PKS bagi membantu meningkatkan perniagaan secara atas talian. Di bawah Pakej Rangsangan, Program Tunas Usahaawan Belia Bumiputera (TUBE) telah berjaya menghasilkan lebih 5,000 usahawan belia khususnya dari kalangan graduan. Secara rumusan, teras utama Bajet 2022 menyentuh aspek terpenting belia seperti pewujudan pekerjaan, peningkatan kemahiran, latihan dan program pembiayaan usahawan. Namun begitu, adakah peruntukan yang diberikan kepada belia telahpun mencapai matlamatnya? Apakah yang kita boleh cadangkan untuk diperuntukkan kepada belia pada Bajet 2023?
Pertama, boleh dikatakan masalah terbesar di kalangan belia adalah kekurangan peluang pekerjaan. Kita jangan lihat pada kadar pengangguran sahaja, tetapi kita juga kena lihat masalah over-education di mana, sebagai contoh, graduan kejuruteran tetapi bekerja di dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan yang dimiliki oleh graduan tersebut. Pelaburan masa, tenaga, dan kewangan graduan tersebut selama 3 – 4 tahun di universiti untuk mendapatkan kemahiran itu tidak dapat dimanfaatkan. Contoh ini merupakan masalah mismatch (tidak sepadan) yang semakin berleluasa di kalangan belia masa kini. Di manakah lompong dalam pasaran kerja yang menyebabkan banyak berlaku over-education di mana graduan mengambil peluang pekerjaan yang sepatutnya diambil oleh non-graduan, dan peluang non-graduan untuk mendapatkan pekerjaan menjadi semakin tipis. Keadaan ini mencapai ke paras membimbangkan apabila golongan remaja sekolah tidak lagi ingin menyambung pelajaran ke universiti untuk mengelakkan hutang pendidikan dan ketiadaan jaminan pekerjaan yang sesuai. Perkara ini patut menjadi agenda utama kerajaan untuk mengenalpasti apakah yang menyebabkan mismatch ini berlaku dan apakah usaha yang paling berkesan bagi memastikan graduan berkemahiran tinggi ini dapat digunakan untuk pembangunan negara.
Kedua, over-education, isu gaji minimum masih perlu diberi perhatian. Adakah belia kita malas sedangkan ramai belia tempatan yang sanggup bekerja di sector 3D (dirty, dangerous, demeaning) di negara luar seperti mengutip sampah di Singapura, memetik buah di Australia, mahupun mencuci tandas di United Kingdom. Kalau kita cuba fahami mengapa mereka sanggup berhijrah ke negara luar untuk bekerja di dalam sektor ini, jawapannya satu – gaji. Jika kita mampu berikan gaji bermaruah kepada belia tempatan, saya pasti ramai yang sanggup bekerja di sektor pertanian, pembinaan, dan servis mencuci. Dalam memutuskan berapakah gaji minimum yang wajar, kita juga faham kekangan majikan terutama dari industri kecil dan sederhana di mana kos upah merupakan antara kos tertinggi bagi sesebuah perniagaan. Insentif khusus kepada perniagaan kecil dan sederhana dan berfokuskan kepada pengambilan pekerja tempatan haruslah diberi penekanan di dalam Bajet 2023.
Kita tidak mahu lambakan pekerja asing atas alasan sukar untuk mencari warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan. Ini merupakan asalan sesetengah majikan yang memanipulasi pekerja asing dengan memberikan gaji yang terlalu rendah. Warga asing mempunyai daya tahan yang tinggi kerana mereka ditindas lebih teruk di negara sendiri, namun begitu perkara ini tidak boleh diteruskan sehingga anak tempatan hilang pekerjaan disebabkan sikap tamak sebahagian majikan. Pekerja asing yang kita patut panggil adalah mereka yang berkemahiran tinggi supaya kemahiran itu mengalir ke dalam negara dan membantu meningkatkan pembangunan, pekerja tempatan juga boleh belajar kemahiran yang dibawa dari negara luar.
Ketiga, melibatkan pemerkasaan TVET (Technical and Vocational Education and Training) dalam pendidikan. Jika kita ingin meningkatkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara, pelabur asing melihat kepada kemahiran dan kecekapan teknikal tenaga kerja tempatan. Kita perlu ada sekumpulan pekerja mahir dan salah satu caranya adalah pemerkasaan TVET. Untuk mencapai matlamat ini banyak lagi yang harus dilakukan. Antaranya, kita perlu ubah persepsi masyarakat bahawa TVET ini hanya untuk pelajar kelas belakang, jadi persepsi ini perlu diubah sehingga masyarakat faham ada sebahagian yang mempunyai kecenderungan untuk kemahiran teknikal, sebahagian yang lain akademik. Negara kita memerlukan kedua-dua kemahiran ini. Oleh itu adalah diharapkan di dalam Bajet 2023 kerajaan memperkasakan dan mempromosikan TEVT sebagai pilihan pengajian yang diterima umum.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment