Pendapat @ My LNA

Kes penipuan atas talian dan telefon palsu: Henti beri ruang kepada sektor perbankan untuk menggelak tanggungjawab, kerajaan harus lindungi pendeposit

307

Ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa penipuan (scam) telefon dan atas talian yang menyebabkan wang simpanan mereka dipindah keluar dari bank tanpa persetujuan.

Walaupun tiada statistik jitu yang dilaporkan, media baru-baru ini telah melaporkan bahawa antara tahun 2020 sehingga Mei 2022, hampir 72,000 kes penipuan telah dilaporkan melibatkan kerugian lebih RM5.2 billion. (Rujukan: www.nst.com.my/amp/news/crime-courts/2022/08/819331/rm52b-losses-through-online-scams-2020)

Dalam kata lain, setiap hari di Malaysia berlaku lebih 80 kes penipuan menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan hampir RM6 juta.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas dalam isu ini.

Pertama sekali, sektor perbankan harus diwajibkan untuk memperbaiki sistem keselamatan mereka secara keseluruhan, termasuk proses di sebelah pengguna (consumer-side process). Mungkin sistem dalaman bank adalah selamat daripada risiko digodam, namun dengan galakkan perbankan atas talian, peranti pengguna seperti telefon bimbit dan komputer peribadi tidak mempunyai keupayaan keselamatan seperti sistem dalaman bank. Justeru, sektor perbankan harus dipertanggungjawabkan untuk memperhalus keseluruhan sistem keselamatan termasuk proses yang melibatkan peranti pengguna.

Kedua, proses untuk mangsa mendapat kembali wang yang hilang harus dipermudahkan dan dipercepatkan. Selalunya kes mendapat kembali wang mangsa akan mengambil masa beberapa bulan, dan jika bernasib baik wang tersebut akan dikembalikan, tetapi dalam banyak keadaan, dengan dasar pada masa kini, pihak bank akan berjaya mencuci tangan dan mangsa tidak mendapat sebarang pampasan setelah menunggu berbulan-bulan lamanya.

Oleh itu, ketiga, bank tidak seharusnya mudah dilepaskan dengan memberi alasan bahawa semua langkah keselamatan dalaman telah dilaksanakan. Dalam banyak kes, dilaporkan bahawa pendeposit tidak pernah mendapat kod kebenaran transaksi, namun wang mereka telah dipindahkan. Pihak bank pula menyatakan bahawa kod tersebut telah dihantar. Dalam keadaan ini, dengan dasar masa kini yang berpihak kepada bank, maka akhirnya bank dapat mencuci tangan daripada tanggungjawab mereka. Dasar ini harus digubal agar bank dipertanggungjawabkan ke atas kehilangan wang yang berlaku di tangan mereka.

Keempat, perlindungan seperti Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PDIM) harus dikembangkan untuk berdepan risiko baru seperti penipuan atas talian memandangkan perbankan kini melibatkan lebih banyak urusniaga atas talian yang terdedah kepada kes-kes sebegini.

Kelima, pihak penguatkuasa harus meningkatkan kapasiti untuk mengesan, menangkap dan seterusnya mendakwa dalang-dalang kes penipuan ini. Sindiket-sindiket penipuan harus dimusnahkan. Yang peliknya, jika perbualan telefon Menteri dan ahli-ahli politik pun boleh dikesan, dirakam dan didedahkan, masakan pihak penguatkuasa tidak mampu mengesan scammer yang terbabit melalui perbualan telefon dengan mangsa?

Kerajaan perlu berhenti memberi ruang kepada pihak bank untuk terus berdolak dalih dalam isu ini. Selama ini orang ramai menaruh kepercayaan bahawa wang mereka selamat disimpan di dalam bank, tetapi apabila berlaku kelemahan dalam sistem keselamatan perbankan, pihak bank perlu ambil tanggungjawab dan memainkan peranan mereka.

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar...