Pendidikan @ My LNA

airasia academy & Jom Tuisyen – Demi masa depan yang lebih cerah bagi anak-anak Yayasan Chow Kit

164

Oleh Air Asia

KUALA LUMPUR, 9 September 2022 – Menyediakan kemudahan pendidikan yang mampu milik dan mudah diakses kepada komuniti terpinggir adalah penting untuk membuka peluang kepada anak-anak mereka mencungkil potensi dan meneroka masa depan yang lebih cerah.

Dalam usaha memenuhi keperluan khusus golongan ini, airasia academy membina ruang kolaborasi yang lebih bermakna dengan Yayasan Chow Kit (YCK) menerusi kandungan komprehensif yang ditawarkan oleh peneraju platform e-pembelajaran Malaysia, Jom Tuisyen.

Pengarah Strategi dan Inovasi airasia academy, Dr. Ram Gopal Raj berkata: “Sejak mula ditubuhkan, kami sentiasa menekankan demokrasi pendidikan supaya pelajar boleh memilih dan menguruskan pembelajaran sendiri. Menerusi kaedah ini, kita boleh perkasakan mereka untuk menentukan tahap pencapaian masing-masing. Menerusi usahasama dengan YCK dan Jom Tuisyen, kami lebih dari sekadar menyediakan bahan pembelajaran malah meningkatkan kesedaran tentang bagaimana medium ini boleh membantu anak-anak ini mencapai sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup mereka.”

Beliau bercakap kepada media sewaktu program jangkauan komuniti di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini. Dr. Ram turut memberi demonstrasi platform on-demand learning (ODL) airasia academy yang digunakan lebih 50 pelajar berusia antara 10 hingga 20 tahun di bawah bimbingan tenaga pengajar YCK.

Keterangan gambar: (Dari kiri) Pengarah Strategi dan Inovasi airasia academy, Dr. Ram Gopal Raj, Pengasas YCK, Dato Dr Hartini Zainuddin dan Pengasas Jom Tuisyen, Sunny Yee.

Aktivis kanak-kanak terkenal dan Pengasas YCK, Dato Dr Hartini Zainuddin berkata: “Setelah sekian lama kami berusaha mencari kaedah pembelajaran yang sesuai untuk anak-anak ini kerana mereka berhak untuk dididik dengan betul. Selama itu, walaupun berjaya, namun kami terpaksa berdepan pelbagai cabaran yang bukan sahaja perlu ditempuhi, malah dihapuskan. Kolaborasi bersama airasia academy dan Jom Tuisyen merupakan langkah yang penting untuk menjayakan misi ini di masa depan.”

Tambah Dr Hartini, “Apabila anak-anak ini mudah mengakses semua kelas dan tutorial dalam ruang lingkup yang terhad, tanpa yuran yang tinggi, kami mula melihat kemajuan yang ketara dalam pembelajaran mereka hanya dengan menggunakan sumber asas untuk mendapat pendidikan menyeluruh di hujung jari. Dengan beberapa jam pada waktu persekolahan dan kelas-kelas tambahan malam hasil kegigihan tenaga pengajar kami, jelas ketara kemajuan yang signifikan terutama dari segi keupayaan untuk meningkatkan pembelajaran mereka di dalam dan luar kelas. Kami di YCK telah lama menantikan usaha ini untuk membangunkan kaedah yang mampan dan terjamin untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak ini supaya mereka mampu memperhalusi potensi mereka yang selama ini kurang dititik beratkan.”

Pengasas Jom Tuisyen, Sunny Yee berkata: “Usaha kami merupakan gabungan bahan-bahan pendidikan dan pengalaman kami selama bertahun-tahun dalam penyediaan kandungan pembelajaran yang menjadi contoh bagi subjek-subjek Tahun 1 hingga 6 mengikut sukatan pelajaran di SK, SJKC dan SJKT di mana Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Mandarin, Bahasa Melayu dan Inggeris. Ini akan mempercepatkan proses membina asas pemahaman bagi subjek-subjek teras dan elektif tersebut di kalangan para pelajar.”

Tambah Sunny, “Selain itu, Jom Tuisyen juga menawarkan subjek Matematik dan Sains (Fizik, Kimia dan Biologi) untuk Tingkatan 1 hingga 5 dalam bahasa Malaysia dan Inggeris di samping subjek teras dan elektif lain seperti Geografi, Pendidikan Islam, Sejarah dan banyak lagi. Subjek-subjek yang disebut tadi ditawarkan dalam bentuk kandungan video atas permintaan supaya para pelajar boleh log masuk dan mengakses kandungan Jom Tuisyen di mana-mana sahaja dengan menekan butang ‘play’ atau ‘pause’ bila-bila masa mereka mahu.”

Jom Tuisyen merupakan antara kandungan platform ODL airasia academy yang mendapat perhatian kerana memenuhi keperluan pelajar sekolah rendah dan menengah dengan berpandukan sukatan mata pelajaran kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Setakat ini, Jom Tuisyen menawarkan koleksi lebih 8,000 video merangkumi 180 subjek teras dan elektif dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Untuk maklumat lanjut mengenai platform pembelajaran online yang paling pesat membangun di rantau ASEAN dan senarai kursus yang ditawarkan menerusi  ODL airasia academy, layari airasiaacademy.com.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNA

SMK Kota Masai raikan bakal haji, tanam kebersamaan dalam ramadhan

Oleh : Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi PASIR GUDANG – Pengetua, Saridah Abdul...

AMBM @ MY LNAKomuniti @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

UM santuni komuniti muallaf dan asnaf di pedalaman Sabah

Program khidmat bakti yang diadakan oleh mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya...