TEMERLOH, PAHANG : Jelajah FTRoadpedia meneruskan misi tinjauan infrastruktur Keluarga Malaysia dengan siri jelajah kali kedua di Zon Selatan. FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 bermula pada 18 hingga 20 Ogos 2022 diketuai oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof. Jelajah ini akan menelusuri tiga buah negeri iaitu negeri Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Pada minggu lepas delegasi jelajah FTRoadpedia telah menelusuri lebih seribu (1000) km dalam FTRoadpedia Zon Timur.
Turut serta bersama dalam jelajah ini adalah Pengurusan Kanan Kementerian Kerja Raya yang terdiri dari Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Wan Sulaiman dan juga wakil Ketua Pengarah dari agensi Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.
Objektif utama jelajah ini adalah bagi tinjauan status terkini projek pembangunan infrastruktur di Zon Selatan di samping membuat pemantauan kualiti penyenggaraan jalan di bawah kawal selia Kementerian Kerja Raya. Pemerhatian adalah diberikan di lokasi laluan yang mempunyai tinggi aduan jalan raya antaranya melibatkan kawasan tinggi kemalangan, laluan sempit dan masalah jalan raya yang lain.
Lokasi pertama tinjauan adalah Rumah Kekal Banjir (RKB) di lokasi pembinaan di Kg. Tanjung Belengu. Projek ini di bawah Projek Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) untuk daerah Temerloh, Pahang. Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dipertanggungjawabkan untuk merekabentuk projek rumah ini. Jenis reka bentuk yang terlibat adalah rumah bertiang berkeluasan 14700 mm panjang dan 6000 mm lebar, termasuk skop kerja membina tangki najis dan penyambungan bekalan elektrik dan air. RKB ini telah siap sepenuhnya pada Julai 2021 dan penyerahan rumah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada November 2021.
Ahli jelajah diberikan taklimat berkenaan Projek Menaik Aras Jalan Serta Pengalihan Paip di Jalan Temerloh – Kemayan di Jalan Persekutuan FT10, Seksyen 122.00 – 122.10 Daerah Temerloh, Pahang. Projek ini dilaksanakan bagi menambahbaik infrastruktur jalan yang sering dinaiki air jika hujan lebat berterusan. Antara skop projek yang terlibat adalah melibatkan kerja tanah, penurapan jalan, saliran, perabot jalan dan kerja-kerja berkaitan. Projek telah bermula pada Mac 2022 dan telah siap sepenuhnya pada Mei 2022. Kos yang terlibat dalam penyiapan projek ini adalah RM500 ribu. Laluan tersebut merupakan laluan alternatif kepada mereka dari Pantai timur dari Pahang Barat yang mahu ke Selatan tanah air tanpa perlu memasuki Kuala Lumpur. Laluan tersebut dapat mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya terutamanya di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong pada musim perayaan.
Seterusnya, ahli jelajah FTRoadpedia Selatan 2.0 dibawa menelusuri laluan Jalan Persekutuan FT010 iaitu Jalan Gemas – Rompin – Ayer Hitam – Kemayan dan FT011 iaitu Lebuhraya Bahau – Keratong menuju ke Jempol. Laluan ini adalah laluan utama bagi perjalanan Timur – Barat Semenanjung dari arah Selatan ke Lembah Klang. Ia adalah laluan alternatif bagi mengelak kesesakan trafik pada musim perayaan dan jika berlaku banjir di Pahang. Kelulusan peruntukan tahun 2022, laluan FT10 bagi kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, berkala bukan pavemen dan penyenggaraan jambatan adalah sebanyak RM6.70 juta. Manakala, kelulusan bagi kerja penyenggaraan di laluan Jalan Persekutuan FT11 adalah sebanyak RM2.68 juta.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment