Pendapat @ My LNAPolitik @ My LNA

Merombak Fungsi LTAT dalam projek berkos tinggi seperti LCS

70

Kenyataan Media Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Bendera pada 18-8-2022 di Pulau Pinang

Saya merujuk kepada Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaaan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) bertarikh 20-8-2019 yang baru dinyahklasifikasi melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada 10-8-2022.

Dalam laporan tersebut dalam mukasurat iii telah dinyatakan bahawa “Kedudukan aliran tunai syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) setakat 31-5-2019 dilihat amat lemah dengan hutang bank sebanyak RM956.89 juta dan hutang kepada pembekal dan OEM sebanyak RM801.11 juta”.

Perolehan 6 buah LCS dilaksanakan melalui rundingan terus dengan syarikat BNS dengan had bumbung asal berjumlah RM9 billion dan dipinda kepada RM9.13 billion

Semasa perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 di Dewan Rakyat pada 01-08-2022, saya telah membangkitkan isu LCS dan menanyakan kepada Kerajaan apakah wang tambahan yang perlu dibelanjakan untuk menyambung projek LCS. Tetapi, Timbalan Menteri yang menjawab pada masa itu tidak dapat memberikan satu angka spesifik berapakah perbelanjaan tambahan.

Sehingga sekarang, Kerajaan masih tidak dapat menzahirkan kepada awam berapakan anggaran perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk meneruskan projek 6 buah LCS.

Saya membangkitkan isu ini kerana adalah jelas syarikat yang dilantik iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam keadaan kewangan yang lemah dan tidak dapat menyambung projek ini kecuali dengan dana tambahan Kerajaan.

LTAT memegang 61 peratus daripada saham BNS dan mempunyai direct interest dalam perkara ini.

Saya telah membangkitkan dalam perbahasan bahawa satu seksyen 25 yang baru untuk Rang Undang-undang Pindaan LTAT telah dimasukkan.

Seksyen 25 berbunyi: “Jika Lembaga pada bila-bila masa tidak berupaya untuk membayar apa-apa jumlah wang yang ada dalam kredit akaun pencarum kepada pencarum, waris atau waris kadim pencarum, sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta ini, jumlah wang yang dikehendaki dibayar sedemikian hendaklah dipertanggungkan ke atas dan didahulukan kepada Lembaga daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dan Lembaga hendaklah, dengan seberapa segera yang apraktik, membayar balik kepada Kerajaan Malaysia jumlah wang yang telah didahulukan sedemikian.”.

Saya membantah berkenaan sekseyn ini dan menyatakan kerunsingan saya memandangkan seksyen ini adalah satu seksyen penyelamat (bail-out) menggunakan Dana Kerajaan Persekutuan terhadap projek-projek LTAT yang gagal disempurnakan seperti projek LCS.

Seperti dimaklumkan oleh Kerajaan di Dewan Rakyat, kekuatan Tabung LTAT mempunyai RM10 billion dan saya menyatakan pindaan seksyen ini memberikan satu petanda (signal) bahawa LTAT tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik dan perlu juga klausa ini supaya Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan perlu menyelamatkan Tabung LTAT.

Saya ingin menegaskan dan mencadangkan:

  1. Tabung LTAT ialah satu tabung untuk mengadakan faedah persaraan untuk personal bersara Angkatan Tentera Malaysia dan tidak harus digunakan sebagai satu alat oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan projek-projek strategik Kerajaan. Ia harus berfungsi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pelaburan strategik dan tidak melibatkan diri secara terus atau melalui anak syarikatnya dalam projek-projek berisiko tinggi dan mempunyai implikasi kewangan yang tinggi.
  2. Lembaga LTAT seharusnya dipenuhi dengan ahli-ahli profesional dalam pelaburan, kewangan dan ekonomi dan bukan menjadi satu revolving door dan dipenuhi oleh ahli politik yang bersara atau Panglima Angkatan Tentera yang bersara.
  3. Kerajaan perlu menzahirkan implikasi kewangan untuk penyambungan 6 buah LCS dan bagaimana pendanaan (financing) untuk penyambungan projek dan dari mana dana kewangan tersebut.
  4. Mekanisme pemantauan rapi oleh Kerajaan terhadap penyambungan projek LCS dan juga pemantauan oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-kira Wang Parlimen (PAC) dan juga Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan perlu diadakan.
  5. Malaysia telah mendapat kedudukan yang lemah iaitu D dalam Government Defence Integrity Index oleh Transparency International. Parlimen perlu melihat kepada mekanisme defence procurement (pembelian pertahanan) yang telus dan memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

Para veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar banyak memorandum berkenaan tuntutan kebajikan mereka. Sekiranya tiada ketirisan, kepincangan dalam pelaksanaan projek LCS, maka wang tersebut boleh digunakan untuk memenuhi dan mempertingkatan kebajikan para veteran ATM dan dividen LTAT dapat ditingkatkan setanding dengan KWSP.

Wong Hon Wai

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAPendapat @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

Merakyatkan ilmu sains demi masa hadapan 

Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes Di dalam era...

BM @ MY LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Isu Air di Universiti Malaysia Sabah: Menjernih Persepsi, Menuju Solusi

Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi, Majlis Belia Malaysia – MBM) Masak...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Ianya tetap suatu kesalahan, walaupun dibenarkan syarak untuk tidak berpuasa

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin Saban tahun, di bulan Ramadan penuh barakah...

BM @ MY LNAPolitik @ My LNA

PM digesa laksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2024 – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil...