AMEkonomi @ My LNA

Laporan palsu Malaysia bakal muflis, MOF buat aduan rasmi kepada SKMM

161

14 Julai 2022 – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memaklumkan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal. Ini sekaligus menyangkal beberapa laporan di media sosial yang dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan kewangan dan situasi hutang negara.

“Kementerian Kewangan (MOF) ingin menekankan bahawa aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability).” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya hutang Kerajaan Persekutuan jelas masih terkawal di mana Kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik.” ujar Tengku Zafrul.

Tambah beliau, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang- undang sedia ada seperti :

a) Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya Kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges)berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

b) Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.

c) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang Kerajaan tidak boleh melebihi 65% daripada KDNK . Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4% daripada KDNK.

“Selain itu, 97% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit. Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing (foreign exchange risk) adalah minimum.

Paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan. Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya.

Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus. Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar Kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.” kata Tengku Zafrul.

Tambah beliau, berdasarkan faktor-faktor di atas, MOF juga ingin menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

“Selain itu, MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.” ujarnya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...