Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

PEMBINAAN DAN KEUPAYAAN BERSAMA DALAM INDUSTRI SERTA TEKNOLOGI ANTARA MALAYSIA DAN TURKIYE

241

ANKARA, 7 Julai 2022 – Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Turkish Aerospace Industries Inc. (TAI) hari ini telah memeterai komitmen kerjasama bagi penggalakkan pembinaan kapasiti dan keupayaan bersama dalam industri dan teknologi antara Malaysia dan Turkiye melalui pemeteraian Surat Niat kedua-dua organisasi.

Majlis pemeteraian itu berlangsung di Istana Presiden, Ankara dan disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdogan.

Terdahulu, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan lawatan ke TAI yang merupakan Pusat Kecemerlangan Turkiye bagi reka bentuk, pembangunan dan pemodenan pesawat udara, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) serta subsistem satelit dan angkasa lepas.

Untuk makluman, TAI telah membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuk di Cyberjaya yang kini menempatkan seramai 20 jurutera Malaysia. Syarikat pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye itu turut komited untuk melatih dan menempatkan 100 lagi jurutera tempatan dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba yang turut hadir mengiringi YB Perdana Menteri pada sesi lawatan tersebut menyatakan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terhadap jalinan kerjasama antara agensi di bawahnya, MIGHT, dengan TAI.

“MOSTI percaya bahawa elemen terpenting dalam memastikan transformasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi ialah dengan mengeratkan kerjasama dan menyelaras model perniagaan bagi menerokai teknologi-teknologi baharu,” katanya.

Sementera itu, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali menekankan bahawa perkongsian berterusan antara TAI dan Malaysia yang difasilitasi oleh MIGHT telah menggalakkan pemindahan pengetahuan dalam bidang UAV, angkasa dan pesawat kepada pakar Malaysia daripada pelbagai agensi dan industri.

Tambahnya, kerjasama itu mampu menjadi pemangkin kepada Malaysia dalam pengeluaran produk berteknologi tinggi negara, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada perolehan asing dalam bidang strategik seperti pertahanan dan keselamatan. Ini juga merupakan satu langkah yang tepat dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk memulihkan penguasaan dalam pembangunan teknologi di pasaran global.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member