Ekonomi @ My LNA

Inflasi adalah terkawal – MOF

154

23 April 2022 – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berkata ketidaktentuan geopolitik baru–baru ini telah memberi impak kepada momentum pemulihan ekonomi Malaysia akibat pandemik COVID-19. Katanya dalam unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2022, unjuran pertumbuhan global telah disemak semula kepada 3.6% pada 2022 dan 2023 iaitu berkurang daripada 6.1% pada 2021.

“Unjuran ini adalah 0.8 dan 0.2 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran pada bulan Januari 2022. Pada masa sama, kos ekonomi berikutan daripada ketidaktentuan tersebut akan menyebabkan peningkatan harga pada tahun 2022. Sehingga kini, harga bahan api dan makanan global telah meningkat dengan ketara dan lebih memudaratkan kepada kumpulan yang mudah terjejas.

Sehubungan itu, walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) memberikan isyarat bahawa dasar monetari yang ketat bakal dilaksanakan secara agresif, jangkaan pelabur terhadap inflasi AS telah meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa dekad. Akibatnya, pasaran-pasaran bon utama di seluruh dunia telah mencatatkan penjualan terbesar dalam sejarah. Langkah sedemikian merupakan tindak balas terhadap isyarat pengetatan monetari AS yang lebih agresif untuk memerangi inflasi, yang kini mencatatkan paras tertinggi dalam 40 tahun di AS.

Oleh kerana Malaysia mempunyai sebuah ekonomi yang terbuka dengan kadar pertukaran mata wang yang ditentukan pasaran, pergerakan turun naik nilai ringgit dipengaruhi oleh kedua-dua faktor global dan domestik. Antara faktor tersebut adalah perubahan dalam sentimen pelabur, landasan pemulihan pandemik dan dasar normalisasi di kalangan negara ekonomi maju. Penyusutan nilai ringgit secara umumnya turut mengikuti jejak penyusutan mata wang utama dan serantau. Prospek mengetatkan dasar monetari secara lebih agresif oleh Fed AS dengan kenaikan kadar 50 mata asas dijangka dilaksanakan pada bulan Mei serta kelemahan keseluruhan mata wang di rantau ini merupakan sebahagian faktor yang turut mempengaruhi pergerakan nilai ringgit baru-baru ini.” kata MOF dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat menerusi kejatuhan mata wang Yuan yang mempunyai hubung kait positif dengan ringgit kerana China merupakan salah satu daripada rakan dagang utama Malaysia. Tambahan pula, ringgit, seperti mata wang asing Asia yang lain turut dipengaruhi oleh pengurangan kecairan global oleh Fed AS.

“Namun demikian, adalah wajar diberi perhatian bahawa aktiviti dalam pasaran mata wang ringgit kekal teguh. Setakat ini, purata dagangan tukaran asing dalam pesisir harian ialah USD12.6 bilion berbanding USD11.3 bilion pada 2021, dengan purata turun naik 3.9% (purata 2021: 4.6%). Nilai ringgit yang fleksibel akan terus memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelarasan sektor luaran yang bersesuaian dan melindungi ekonomi domestik daripada kejutan global yang memberikan kesan negatif.

Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh, termasuk lebihan akaun semasa yang baik dan kedudukan pemiutang luaran bersih telah meningkatkan keupayaan negara dengan ketara untuk bertahan daripada ketidaktentuan dan kejutan luaran tersebut. Tambahan pula, asas-asas Malaysia kekal teguh seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dan daya saing eksport yang konsisten, rizab antarabangsa yang mencukupi serta trajektori inflasi yang rendah berbanding negara di rantau ini. Kesemua ini dijangka dapat terus menampan penurunan Ringgit.

Dari segi inflasi, unjuran terkini IMF menjangkakan peningkatan 5.7% dalam ekonomi maju dan 8.7% dalam negara yang berkembang pesat dan negara membangun. Unjuran ini adalah 1.8 dan 2.8 mata peratusan lebih tinggi daripada unjuran pada bulan Januari.” kata MOF.

Bagi Malaysia, dasar kawalan harga yang dikenakan oleh Kerajaan serta subsidi yang diperuntukkan untuk Petroleum RON95 dan pelbagai barangan makanan akan melindungi rakyat daripada sebarang implikasi tekanan inflasi. Kadar inflasi Malaysia pada tahun ini dijangka berada antara 2.2% hingga 3.2% (2021: 2.5%) iaitu lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN. Jangkaan ini juga sejajar dengan unjuran oleh IMF:

“Ini disokong oleh pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) baru-baru ini mengenai kadar inflasi bagi bulan Mac 2022 yang kekal pada kadar yang sama dengan bulan Februari iaitu 2.2%.

Melangkah ke hadapan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi Negara. Ini termasuk ketegangan geopolitik baru-baru ini dan bagaimana ia akan menjejaskan rantaian bekalan global yang mungkin memberi tekanan inflasi yang lebih tinggi serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing serta pasaran kewangan di Malaysia. BNM akan terus mengukuhkan kelancaran operasi pasaran pertukaran asing tempatan dengan sentiasa memastikan kecairan yang mencukupi serta memastikan perniagaan- perniagaan boleh merancang dan menjalankan aktiviti perdagangan dan transaksi pelaburan dengan lebih yakin.” kata MOF.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Tindakan puak Houthi di Yaman tidak beri impak besar kepada ekonomi Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...