Ekonomi

Produk agromakanan keluaran tempatan tembusi pasaran Jepun

PUTRAJAYA 22 April 2022 – Bagi memastikan lebih banyak produk agromakanan keluaran tempatan menembusi pasaran Jepun, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengadakan kolabrasi strategik awam-swasta.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ketika sesi Flag Off Pengeksportan Produk Agromakanan ke Jepun, usaha penerokaan pasaran antarabangsa telah dikonsolidasikan melalui pengukuhan peranan syarikat Malaysia sebagai Export Management Company (EMC) Malaysia di luar negara.

“Pemerkasaan single branding sangat signifikan sebagai pemangkin bagi merancakkan permintaan pasaran terhadap produk industri asas tani (agromakanan) Malaysia melalui inisiatif Program Malaysian Export Management Company – EMC (MyEMC).

Inisiatif ini merupakan kolaborasi strategik awam-swasta (Public-Private Initiative) dengan penglibatan pemain industri berkaitan yang terdiri daripada usahawan pengeluar, pengeskport, pengimport luar negara dan pemasar di luar negara bertujuan untuk mengatasi permasalahan penembusan pasaran (market entry), pemasaran dan juga promosi produk agromakanan di sesebuah negara pengimport,’ jelas Dr Ronald.

Terdahulu Ronald turut menyaksikan sesi menandatangani MoU bersama Syarikat SD Impex Japan Co., Ltd. bagi menjalinkan kerjasama promosi dan pemasaran produk agromakanan di Jepun. MOU tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha MAFI dalam memperkukuhkan jenama MyKitchen dan MyKitchen Fresh di Jepun di samping memantapkan sistem pemasaran yang lebih efisien dan lebih terarah.

Menurut MAFI, melalui Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Tokyo, Jepun yang dipantau rapi oleh Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) MAFI, kerjasama strategik bersama Syarikat SD Impex Japan Co., Ltd sebagai EMC telah berjaya meningkatkan jumlah tempahan eksport sebanyak 992 karton melibatkan 36 Stock Keeping Unit (SKU) terdiri daripada lebih 50,000 unit produk Ready to Eat (RTE), Ready to Drink (RTD) dan Ready to Cook (RTC) keluaran 13 buah syarikat pengeluar dan usahawan seluruh negara dan diletakkan di bawah jenama tunggal (single branding) MyKitchen.

Katanya kejayaan itu secara tidak langsung dapat menyumbangkan kepada peningkatan nilai perdagangan agromakanan di antara Malaysia dan Jepun pada tahun ini berbanding USD1.21billion
(RM5.18bilion) dicatatkan pada tahun 2021 dan seterusnya boleh menyumbang kepada trend pemulihan dan akses pasaran luar negara kepada produk jenama Malaysia.

“Mengambilkira kelangsungan permintaan bagi sesetengah produk tempatan di Jepun, MAFI komited dalam memastikan kolaborasi bersama syarikat/usahawan sebagai EMC adalah berkeupayaan untuk memperkenal dan memperkukuhkan jenama produk tempatan di pasaran negara matahari terbit tersebut. Selain itu, EMC juga bertanggungjawab untuk sentiasa menambahbaik tahap kebolehpasaran produk tempatan mengikut kehendak pasaran semasa di Jepun, selain turut membantu dalam
merancang gerak kerja pengeksportan di kalangan usahawan terpilih.

Sehingga April 2022, melalui pelbagai bimbingan, proses saringan, percubaan eksport dan promosi yang berterusan, sebanyak 70 SKU produk agromakanan terpilih melibatkan pelbagai syarikat pengeluar dan usahawan dibawah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan telah dipromosi dan dipasarkan di Jepun, berbanding hanya 12 SKU semasa inisiatif ini mula diperkenalkan pada tahun 2020. Selain itu, penghantaran pada kali ini adalah termasuklah produk Stingless Bee Honey Coffee, hasil kerjasama strategik antara usahawan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Peneraju Agenda
Bumiputera (TERAJU) di bawah inisiatif Smart Community program.

Menyedari prospek pasaran makanan yang meluas di Jepun, SD Impex Japan Co., Ltd. telah mengadakan beberapa siri pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tech Innovation Co. Ltd. yang merupakan salah satu pemborong berdaftar di Don Quijote. Selain itu, pemeteraian MoU bersama SS Halal Co., Ltd syarikat pemasaran produk agromakanan di bawah pemantauan FAMA juga telah dilaksanakan bersempena World Food and Beverage Tokyo 2022 (FABEX) di Tokyo Jepun.” kata MAFI.

Terdahulu kolaborasi pemasaran yang dilaksanakan MAFI bersama Pasaraya Don Quijote Jepun secara in-store promotion juga telah menerima maklum balas sangat positif, di mana program ini telah diperluas ke seluruh cawangan Don Quijote di Hokkaido, Tokyo, Yokohama, Nagoya dan Osaka pada tahun ini.

“Produk-produk ini juga turut dipasarkan secara atas talian menerusi platform e-dagang halal2go.jp, selain kedai serbaneka dan pemborong di seluruh Jepun.

Secara keseluruhannya, sesi Flag Off Pengeksportan Produk Agromakanan ke Jepun ini akan menjadi mercu tanda terhadap kejayaan Malaysia untuk terus meneroka dan menembusi pasaran Jepun, seterusnya melengkapkan visi Kementerian selaku peneraju sektor pertanian dalam usaha menjadikan Malaysia lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia sekaligus menjadikan sektor pertanian dan agromakanan sebagai salah satu jentera utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Buat masa ini, MAFI telah menfokuskan pengukuhan tiga (3) buah EMC masing-masing di Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Selatan Thailand. Untuk itu, MAFI juga mempelawa mana mana syarikat pengeluar dan usahawan tempatan yang ingin menjalinkan kerjasama dengan MAFI di bawah inisiatif jenama tunggal (single branding) My Kitchen bagi penembusan pasaran global di negara-negara lain.” katanya.