Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Dr. Abdul Rahim Harun dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia

442

BANGI 15 April 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan bahawa Dr. Abdul Rahim bin Harun telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia berkuatkuasa 11 April 2022 menggantikan Ts. Dr. Siti A’iasah binti Hashim yang telah bersara pada 1 Januari 2022.

Menurut MOSTI dalam satu kenyataan media yang diedarikan hari ini, pelantikan Dr. Abdul Rahim dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam bidang penyelidikan teknologi nuklear.

“Perlantikan ini membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Agensi Nuklear Malaysia dan seterusnya meneruskan kecemerlangan dan mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan nuklear. Beliau mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia pada tahun 1988, Ijazah Sarjana dalam bidang Applied Genetics dari University Of Birmingham, United Kingdom pada tahun 1998 dan seterusnya Ijazah Kedoktoran dalam bidang genetik dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010. Sebelum ini, beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi).

YBrs. Dr. Abdul Rahim merupakan pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman dan beliau pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius.” kata MOSTI.

Sementara itu, Dr. Rosli bin Darmawan pula telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Agensi Nuklear Malaysia berkuatkuasa mulai 11 April 2022.

Kata MOSTI, Dr Rosli mendapat pendidikan Ijazah Pertama Kejuruteraan Mekanikal dari University of the Pacific, Amerika Syarikat pada tahun 1990 dan mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2015.

“Sebelum ini beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal) dan merupakan pakar nuklear dalam bidang kemudahan dan utiliti aplikasi nuklear serta sistem keselamatan reaktor nuklear.

Dengan kelayakan, pengalaman, kemahiran dan ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki oleh kedua-dua individu ini adalah diharap Agensi Nuklear Malaysia dapat meneruskan pencapaian cemerlang dalam bidang penyelidikan nuklear sekaligus meningkatkan kemajuan pembangunan dan penyelidikan nuklear di negara ini. Seluruh warga kerja Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan sekalung tahniah di atas pelantikan tersebut.” kata MOSTI.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member