Pelancongan @ My LNA

PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA DAN MALAYSIA AIRLINES BERHAD JALIN KERJASAMA USAHA MARTABATKAN INDUSTRI KRAF NEGARA

273

Kuala Lumpur, 4 April 2022: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Malaysia Airline Berhad untuk bekerjasama dalam mempromosi serta memasarkan produk kraf tempatan melalui beberapa inisiatif yang memanfaatkan usahawan kraf dan juga pelanggan syarikat penerbangan nasional. Majlis Memorandum
Persefahaman ini ditandatangani bersama Yang Berusaha Puan Aididah Ibrahim, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia dan Yang Berusaha Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MAG. Upacara menandatangani memorandum persefahaman ini disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Santhara, Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Kerjasama ini juga mengalu-alukan kedatangan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn.Bhd yang juga merupakan anak syarikat Kraftangan Malaysia sebagai rakan dagang terbaharu JOURNIFY, platform digital pelancongan dan gaya hidup sehenti milik Malaysia Aviation Group (MAG). Dengan membawa matlamat yang sama iaitu ‘mempromosikan Malaysia di mata dunia’, Kraftangan Malaysia seiring dengan
Malaysia Airlines Berhad dalam usaha mengetengahkan seni dan budaya sebagai perlambangan atau ikon identiti Malaysia khususnya menerusi produk kraf tempatan.

Puan Aididah Ibrahim berkata menerusi ucapan beliau, “saya berasa sangat bertuah kerana pada hari ini, Kraftangan Malaysia sekali lagi secara rasminya akan melebar luas dan mengukuhkan lagi jalinan hubungan kerjasama bersama Malaysia Airlines Berhad. Kesudian pihak Malaysia Airlines Berhad atas persefahaman ini amatlah kami hargai dalam usaha memasar, mempromosi serta meningkatkan
kebolehcapaian produk kraf tempatan di peringkat global.

Kraftangan Malaysia amat berterima kasih atas segala peluang dan sokongan yang diberikan oleh pihak Malaysia Airlines Berhad dalam usaha membantu mempromosikan produk kraf tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Manakala Kapten Izham Ismail turut berkata, “Sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines juga berbangga apabila dapat membawa nama negara, tradisi, budaya, dan layanan mesra Malaysian Hospitality ke semua destinasi jaringan kami.

Kami berasa amat berbesar hati apabila Kraftangan Malaysia menerusi Karyaneka sudi untuk bergabung tenaga bagi membuka peluang yang lebih besar untuk para pelanggan dan pelancong antarabangsa membeli barangan unik dari Malaysia dengan mudah, sekali gus merancakkan semula ekonomi negara berikutan pembukaan sempadan negara yang pastinya akan memanfaatkan pelbagai sektor perniagaan termasuk pelancongan dan penerbangan negara.

Kerjasama dengan Kraftangan Malaysia ini terjalin tepat pada masanya dan amat bersesuaian dengan inisiatif JOURNIFY untuk mempromosikan produk tempatan dan sejajar dengan misi Kraftangan Malaysia memacu pembangunan industri kraf sebagai pemangkin sosioekonomi yang mampan dan perlindungan seni kraf warisan. Kami percaya, ini secara tidak langsung dapat memupuk semula semangat usahawan kraf tempatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. “

Diharapkan dengan adanya memorandum persefahaman antara Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Malaysia Airlines Berhad ini pastinya memberi impak yang besar kepada industri kraf negara. Ianya juga akan menyuntik semangat usahawan kraf untuk terus aktif menghasilkan produk kraf yang unik, berkualiti dan beridentiti negara sebagai cenderamata khususnya kepada pelancong luar yang
berkunjung ke Malaysia.

JOURNIFY adalah platform digital yang memberi pengguna akses kepada segala maklumat berkaitan perjalanan seperti tempat-tempat menarik, perancangan percutian sehinggalah kepada pengalaman membeli-belah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Para pengunjung dalam dan luar negara juga boleh menjadikan JOURNIFY sebagai tempat rujukan utama apabila aplikasi ini turut menampilkan informasi terbaharu mengenai produk-produk buatan tempatan dan lokasi-lokasi percutian yang terindah di Malaysia.

Buat pertama kalinya, di bawah JOURNIFY turut disediakan JOURNIFY2U iaitu perkhidmatan penghantaran barangan yang dibeli secara dalam talian ke ruang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Perkhidmatan eksklusif yang julung-julung kali diperkenalkan ini mampu untuk menaikkan nama negara kerana memberi kemudahan kepada para pelancong dari luar negara untuk membawa pulang cenderahati dari Malaysia dengan mudah.

Untuk menikmati pengalaman hebat di JOURNIFY, lawati myjournify.com atau muat turun aplikasi JOURNIFY di iOS & Android, untuk mendapatkan maklumat terkini dan membeli-belah lebih daripada 1,000 produk premium termasuk produk kraf tangan tempatan, produk dari artisan, produk eksklusif jenama Malaysia Airlines dan banyak lagi tawaran menarik di aplikasi ini.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNAPelancongan @ My LNAUTAMA

MOTAC adakan kolaborasi dan libat urus, perkasakan pelancongan di Semporna

5 Mac 2024 – Semporna merupakan pilihan pelancong domestik dan antarabangsa terutamanya...

BM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNAPelancongan @ My LNAUTAMA

Spritzer EcoPark Memeriahkan Tahun Baru Cina dengan Sambutan Musim Bunga yang Mempesonakan

KUALA LUMPUR/TAIPING, 8 FEBRUARI 2024 – Spritzer EcoPark sangat teruja untuk sambutan besar-besaran dengan...