Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MOSTI lancarkan MYStartup Roadshow dan Geran Pembiayaan Cradle

65

JOHOR BAHRU, 10 MAC 2022 – MYStartup Roadshow dan Geran Pembiayaan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT telah dilancarkan di sini semalam. MYStartup anjuran Cradle agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah inisiatif yang dilaksanakan untuk memperkasakan lagi ekosistem dan komuniti start-up di Malaysia menerusi pengisian program yang menumpukan kepada pembangunan dan perkembangan start-up secara mampan serta pembangunan kapasiti dan modal insan.

“Johor adalah lokasi pertama dalam siri jelajah ini. Dengan sokongan daripada Iskandar Investment Berhad, Common Ground Iskandar Space dan INFINITY 8 sebagai rakan strategik, ia menjadikan usaha MOSTI serta Cradle dalam memajukan lagi komuniti start-up berada di landasan yang tepat.” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam satu kenyataan.

MOSTI bersama Cradle telah melancarkan Program MYStartup untuk memastikan ekosistem start-up di Malaysia dapat diperkukuhkan melalui program sokongan dan bimbingan teknikal yang lebih terangkum dan menyeluruh.

“Siri jelajah ini adalah inisiatif tahunan Cradle yang bertujuan untuk merapatkan jurang bagi start-up yang berada di negeri-negeri lain serta memastikan mereka mendapat pendedahan dan peluang yang saksama kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Cradle.

Sepanjang MYStartup Roadshow, Cradle akan memberi penerangan terperinci serta hebahan mengenai program yang dilaksanakan bersama-sama dengan rakan strategik mereka. Ini termasuk kaedah-kaedah penyertaan bagi start-up, kriteria permohonan geran, pemadanan perniagaan dengan dana yang bersesuaian dan sesi networking.

Dalam pada itu, 2 geran baharu turut dilancarkan iaitu CIP SPARK yang merupakan geran pembangunan bersyarat (Conditional Development Grant) yang menawarkan tempoh pembiayaan sehingga 18 bulan dan terbuka kepada individu, syarikat persendirian, perkongsian lialibiti terhad dan syarikat jenis sendirian berhad.” kata MOSTI.

Manakala, CIP SPRINT pula merupakan geran pengkomersialan bersyarat boleh ubah (Conditional Convertible Commercialisation Grant) yang menawarkan tempoh pembiayaan selama 18 bulan dan terbuka kepada syarikat jenis sendirian berhad, termasuk syarikat milikan universiti dan institut penyelidikan.

“Kedua-dua geran diperuntukkan di bawah RMKe-12 ini merangkumi pembiayaan bagi pembangunan dan pra-pengkomersialan yang bertujuan membantu usahawan teknologi di peringkat awal untuk membangun dan mengkomersialkan produk-produk mereka di pasaran.

Selain menerima suntikan dana, pemohon CIP SPARK dan CIP SPRINT yang berjaya juga akan disokong dengan akses kepada rangkaian perniagaan serta perkhidmatan tambah nilai lain seperti pembangunan model perniagaan, bimbingan kemahiran pengesahan pasaran dan juga akses kepada pasaran.” jelas MOSTI.

Tambah MOSTI siri jelajah MYStartup tersebut akan diperluas ke lokasi lain di seluruh negara antaranya Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagi memastikan komuniti start-up yang berada di luar kawasan Lembah Klang tidak terlepas peluang bagi mendapat manfaat daripada acara-acara pemerkasaan start-up melalui Program MYStartup.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member