10 MAC 2022 – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berpandangan artikel yang diterbitkan oleh Free Malaysia Today (FMT) pada tarikh 28 Februari 2022 yang bertajuk “Malaysia’s looming food crisis” tidak disokong dengan fakta yang tepat dan seterusnya ianya boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha-usaha Kerajaan dalam mengatasi isu kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dan mengawal kenaikan harga jualan runcit ayam pada masa kini.
Menurut MAFI dalam satu kenyataan hari ini, data 2019, menunjukkan pengeluaran daging lembu dan kerbau negara berada pada 25% tahap sara diri. Manakala pengeluaran daging kambing 11% dan susu segar 4%.
“Melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), kerajaan mensasarkan untuk mempertingkatkan prestasi 50% pengeluaran daging lembu dan kerbau, 30% kambing dan 100% produk tenusu menjelang 2025.
Peningkatan ini berlaku ekoran penglibatan aktif syarikat swasta dalam membangunkan industri penternakan berskala besar melalui kemudahan dan intervensi kerajaan. Agensi-agensi kerajaan (GLC) yang mengusahakan tanah ladang turut memberi kesan positif kepada peningkatan kenaikan pengeluaran negara. Sebagai contoh peningkatan populasi ruminan dalam integrasi berjaya dipertingkatkan daripada 12,821 ekar (2012) kepada 47,741 ekar (2020).
Melalui Pelan Strategik Agromakanan Negara, smart farming adalah salah satu kaedah yang perlu dikembangkan dalam penternakan. Kaedah ini menambahkan produktiviti peningkatan dan kecekapan pengeluaran serta penjimatan kos input ladang ayam, daging dan penelur yang melaksanakan “closed house system”. Pelaksanaan ini meliputi pemakanan, kutipan, pengredan telur, kawalan suhu dan kelembapan yang tidak dipengaruhi cuaca.” jelas MAFI.
Tambah MAFI, Inisiatif Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi daging ayam dan telur telah memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia dalam mendapatkan sumber protin murah di pasaran.
“Perkara ini tidak menjadi punca kepada pihak ladang untuk mengurangkan pengeluaran ayam dan telur.
Sebaliknya, peningkatan mendadak penggunaan daging ayam dan telur terutama dalam sektor komersil ekoran penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada kekurangan daging ayam dan telur di pasaran. Ini adalah kerana pengeluaran daging ayam dan telur sangat rendah berikutan usaha pihak ladang untuk mengurangkan populasi ternakan di ladang bagi menstabilkan pengeluaran sepanjang tempoh PKP.
Bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran, Kerajaan telah memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat dengan memberi kelulusan kepada 36 syarikat termasuk pasaraya. Keputusan ini adalah bagi memastikan keperluan Negara mencukupi dan mencapai kestabilan. Kebenaran ini hanya boleh dilaksanakan sehingga Mei 2022.” katanya.
Berhubung dengan permohonan mendapatkan AP, MAFI berkata permohonan boleh dibuat oleh mana-mana syarikat dan akan diberi kelulusan jika ianya memenuhi syarat-syarat AP yang telah ditetapkan. Tambahnya, juga perlu melalui beberapa jawatankuasa dan kelulusan adalah dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) bulan bergantung kepada dokumen yang lengkap. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memohon AP tersebut.
“Kenyataan artikel oleh FMT bahawa rantaian bekalan ayam tempatan kini sedang berada dalam keadaan tidak terkawal adalah disanggah kerana ianya bersifat tuduhan tidak berasas. Kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan industri ternakan ayam terus kekal berdaya saing dan menjamin sekuriti bekalan makanan negara demi kebajikan rakyat Malaysia. Antara usaha yang dijalankan termasuklah penawaran skim pembiayaan mudah dengan kadar faedah yang rendah kepada pemain industri ternakan ayam dan pemberian subsidi kepada penternak ayam bagi mengurangkan impak kenaikan kos input pengeluaran seperti makanan ternakan.” kata MAFI.
- Hollywood’s Style Icon Zendaya Makes Her Stunning Wax Debut at Madame Tussauds Singapore
- GangaGen Secures additional US$7.9 Million from CARB-X for Pre-clinical Development of Novel Klebicins Targeting Nosocomial Pneumonia caused by Multidrug-resistant Klebsiella pneumoniae
- Star-Studded Christmas Music Gala Lights Up the Stage
- Graphisoft Strengthens Presence in Southeast Asia Amid BIM Demand Surge
- Leading the Way: Singapore’s Exceptional Achievements at the ACES Awards 2024
Leave a comment