Pelancongan @ My LNA

MOTAC adakan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan (JKPPK)

114

10 Mac 2022 – Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan (JKPPK) Bilangan 1 Tahun 2022 telah diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur dan ia dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Menurut MOTAC dalam satu kenyataan hari ini, selain dari wakilnya, mesyuarat ini juga melibatkan penyertaan daripada Exco-exco Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.

“Empat (4) kertas makluman telah dibentangkan iaitu Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang telah dilancarkan pada 26 Oktober 2021, Belanjawan 2022 di bawah Sektor Pelancongan dan Kebudayaan, Dana di Bawah Seliaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Special Tourism Investment Zone (STIZ).

Perkara-perkara yang telah dibincangkan semasa mesyuarat tersebut termasuklah bantuan atau insentif Kerajaan bagi memastikan kelangsungan penggiat industri, promosi dan pemasaran bagi produk-produk pelancongan dan kebudayaan di negeri-negeri, tenaga kerja di dalam industri pelancongan dan kebudayaan termasuk pembangunan modal insan dan pembukaan sempadan negara.” kata MOTAC.

Tambah MOTAC, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) menjangkakan pelancongan dunia akan kembali seperti keadaan prapandemik pada atau selepas tahun 2024. Katanya lagi, UNWTO turut menjangkakan bahawa ketibaan pelancong antarabangsa akan meningkat sebanyak 30% hingga 78% pada tahun 2022 berbanding 2021.

“Walau bagaimanapun, ia masih 50% hingga 63% lebih rendah berbanding paras prapandemik. Ini adalah kerana penularan varian Omicron yang dianggap bergejala ringan telah mengganggu fasa pemulihan awal 2022.” kata MOTAC.

Perkara-perkara yang akan ditekankan sepanjang tahun 2022 hingga 2023 yang merupakan tempoh fasa yang kritikal bagi pemulihan industri pelancongan dan kebudayaan adalah :

  • pelancongan domestik dan antarabangsa;
  • merancakkan kembali ekosistem kesenian dan kebudayaan;
  • memperkayakan aktiviti penjanaan ekonomi melalui industri kreatif daripada bidang kesenian dan kebudayaan;
  • menambah nilai kepada acara perniagaan (business events);
  • menaik taraf dan menyelenggara kemudahan pelancongan termasuk bangunan dan tapak warisan negara; dan
  • pembukaan sempadan negara.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles