AMSains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MOSTI terbitkan Kalendar Astronomi 2022

81

PUTRAJAYA 10 Februari 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara telah menerbitkan Kalendar Astronomi 2022, MOSTI yang menyediakan maklumat mengenai peristiwa-peristiwa penting Astronomi sepanjang tahun 2022 bagi makluman dan rujukan orang awam.

Menurut MOSTI dalam satu siaran media yang diedarkan semalam, Kalendar Astronomi 2022 boleh dijadikan bahan rujukan dan garis panduan kepada Keluarga Malaysia dan peminat-peminat Astronomi untuk mencerap, memerhati dan menyaksikan fenomena unik yang bakal berlaku sepanjang tahun 2022.

“Kalendar ini menunjukkan peristiwa mengikut waktu piawai dan tarikh berlakunya fenomena astronomi di langit Malaysia serta seluruh dunia melalui grafik ringkas dan mudah difahami.” kata MOSTI.

Dalam pada itu Menteri MOSTI Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata bahawa Kalendar Astronomi 2022 boleh dirujuk oleh setiap ahli Keluarga Malaysia di mana Ibu bapa boleh merujuk kepada himpunan fenomena alam semesta ini untuk mengatur dan merancang program keluarga bagi membolehkan anak-anak dan ahli keluarga mengikuti serta menikmati fenomena cakerawala.

“Bagi pihak sekolah dan guru-guru sains pula, perancangan program yang bersesuaian di peringkat bilik darjah atau di peringkat sekolah boleh dilaksanakan untuk memastikan murid-murid dapat melihat fenomena sebenar seperti yang dipelajari di dalam buku teks atau boleh mengaturkan sesi lawatan pelajar ke mana-mana pusat pendidikan tidak formal di dalam bidang astronomi yang berdekatan di Malaysia.

Bukan sahaja di peringkat sekolah, malah pelajar IPT juga boleh memanfaatkan maklumat-maklumat di dalam kalendar ini untuk meningkatkan minat pelajar-pelajar di peringkat pengajian tinggi seterusnya mencipta bakat dalam bidang astronomi”. kata beliau.

Di peringkat komuniti, sesi pencerapan, forum, ceramah atau taklimat awam boleh dilaksanakan dengan menjemput tokoh-tokoh astronomi yang bersesuaian supaya penduduk Malaysia dapat memahami dengan terperinci setiap peristiwa yang dipaparkan.

Kaedah ini akan mengeratkan hubungan komuniti saintifik profesional dalam bidang astronomi dan sains angkasa. Para ahli akademik boleh membantu penyelidik untuk membuat penyelidikan bersesuaian semasa berlakunya fenomena astronomi dan penemuan hasil penyelidikan dari lokasi masing-masing boleh dikongsikan kepada negara.

“Data-data pada Kalendar Astronomi 2022 telah disemak dan disahkan dengan merujuk kepada sumber data yang sahih dan berwibawa antaranya dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA). Perbezaan-perbezaan kecil data (masa berlakunya fenomena) dengan sumber-sumber lain adalah berkemungkinan disebabkan oleh perbezaan kejituan perisian (software) yang digunakan.
Kalendar ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi memajukan pengetahuan, pendidikan, minat, bakat, kesedaran dan seterusnya mencipta manfaat dari segi ekonomi di seluruh negara.” jelas MOSTI.

Inisiatif penerbitan Kalendar Astronomi 2022 ini adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) iaitu “menggalak dan memupuk kesedaran STI” di kalangan masyarakat negara.

“MOSTI melalui Planetarium Negara juga akan menyediakan siaran langsung atau liputan khas fenomena melalui media sosial termasuk YouTube rasmi Planetarium Negara bagi setiap fenomena yang akan berlaku, sama ada kelihatan di langit Malaysia ataupun hanya kelihatan di luar negara.

Kalendar Astronomi 2022 boleh dimuat turun melalui laman web Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my .

MOSTI berharap usaha ini akan menyemarakkan lagi agenda untuk Merakyatkan Sains Dan Menginsankan Teknologi di kalangan Keluarga Malaysia.” kata MOSTI.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah dengan ilmu

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Pada masa kini, umat Islam...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...