JELEBU 28 Disember 2021 – Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan bahawa kementeriannya akan menyegerakan kerja-kerja baik pulih kemudahan infrastruktur di bawah kelolaannya yang terjejas dilanda bencana banjir.
Katanya antara infrastruktur yang mengalami kerosakan teruk termasuk jalan kampung, jambatan kecil yang menghubungkan antara kampung, surau dan juga longkang kampung yang perlu dibaik pulih secepat mungkin.
“Kerosakan kecil, kita boleh buat kerja baik pulih dengan segera namun kerosakan besar seperti jambatan runtuh kita perlu tunggu hingga kos membaiki atau bina baharu diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR ).
Seperti di Jelebu, banyak jalan kampung yang rosak dan ia turut diberi perhatian untuk dibaiki.” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan KPLB kepada Pejabat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Simpang Pertang di sini hari ini.
Tambah beliau banyak kawasan luar bandar yang terbabit banjir di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor turut mengakibatkan banyak kerosakan jalan kampung.
“Jadi saya telah meminta pegawai-pegawai KPLB khususnya di Bahagian Prasarana, Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan Bahagian Kewangan untuk mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan terjejas banjir di seluruh negara,” ujar Mahdzir.
Sementara itu, Mahdzir turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir 2021 Keluarga Malaysia kepada 373 mangsa banjir daerah Jelebu di Dewan D’sury, Kuala Kelawang.
Sebelum itu, Mahdzir turut meninjau infrastruktur jalan di Kampung Remal, jambatan Kampung Kemin dan Rumah Rakyat Sungai Rotan yang rosak teruk dilanda bencana banjir besar kali ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
- KPKT UMUM PERUNTUKAN RM5.48 JUTA BAGI PROJEK MENAIK TARAF DAN PENYELENGGARAAN INFRASTRUKTUR AWAM DI MANJUNG, PERAK
- SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA TAHUN 2023 – BUAL BICARA KHAS BERSAMA HANNAH YEOH
- SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA TAHUN 2023 – BUAL BICARA KHAS BERSAMA FAHMI FADZIL
- BN KEDAH SARAN GUNA SALURAN RUNDINGAN SELESAIKAN ISU KEDAH-PULAU PINANG
- MALAYSIA SECURES RM23.07 BILLION OF POTENTIAL JAPANESE INVESTMENTS
Leave a comment