KUALA LUMPUR 16 DISEMBER 2021 – Intel Corporation, pengeluar cip terbesar dunia mengumumkan pelaburan lebih RM30 bilion untuk pengembangan operasinya di Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Patrick Gelsinger, berkata pelaburan itu membabitkan pengembangan kemudahannya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. Beliau berkata, pengembangan yang akan dilaksanakan termasuk kemudahan pemasangan ujian serta pembuatan pembungkusan maju baharunya.
Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman.
Gelsinger berkata, Intel kekal komited untuk terus melabur di negara ini bukan hanya dalam pembangunan kemudahan pengeluaran dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), malah turut membangunkan latihan tenaga kerja untuk generasi selanjutnya. Beliau berkata, pelaburannya di Malaysia itu juga akan membangunkan ekosistem yang kaya dalam keseluruhan pembangunan keupayaan pasaran Malaysia.
Dalam pada itu, Azmin berkata, pelaburan lebih RM30 bilion oleh Intel Corporation itu adalah sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), yang akan memastikan Malaysia berada di barisan hadapan dalam semikonduktor. Beliau berkata, pelaburan besar itu juga akan memanfaatkan Malaysia dalam menjana 4000 peluang pekerjaan dan 5000 pekerjaan pembinaan kepada rakyat.
Katanya, pelaburan itu juga akan mengukuhkan lagi peranan negara ini sebagai kawasan utama dalam rangkaian pengeluaran global pengeluar cip terbesar dunia itu.
“Malaysia akan terus menyokong dasar holistik pertumbuhan kukuh dan mampan untuk memastikan perkembangan dalam memupuk teknologi hijau, ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat,” kata Azmin.
Pada separuh pertama 2021, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan RM47.1 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, peningkatan ketara berbanding RM5.0 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020. Pelaburan asing menerajui pelaburan yang diluluskan dalam industri itu, mewakili hampir 98 peratus atau RM46.0 bilion. Projek yang diluluskan itu dijangka menjana lebih 9,700 pekerjaan baharu, termasuk jawatan mahir untuk jurutera, pakar pengawal kualiti dan juruteknik berkemahiran tinggi.
- A Legacy Across Lingnan: Jao Tsung-I in the Greater Bay Area Student Competition Award Ceremony
- SDLG Shines at bauma CHINA 2024 While 2025 SDLG Global Dealer Summit Held Grandly
- Visa Partners with Base.vn for SaaS Day 2024 to Empower Vietnamese SMEs
- Expereo Reveals the Top Trends Transforming Asia Pacific Connectivity in 2025
- Looking beyond Gen Z’s resume
Leave a comment