Kenyataan Media

KELUARGA MALAYSIA : UNDI 18

238

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah pada 21 Ogos 2021 sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan, telah memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.

Pendekatan Keluarga Malaysia ini turut membawa falsafah kebersamaan dan keterbukaan untuk diaplikasi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, budaya, agama mahupun ideologi politik untuk hidup bersama-sama dengan aman dan harmoni di negara Malaysia yang tercinta ini.

Keluarga Malaysia ini juga bertepatan dengan titah nasihat Yang di-Pertuan (YDP) Agong agar semua pemimpin politik bersatu hati menyelesaikan masalah rakyat pada saat getir negara berdepan dengan pelbagai tekanan ekoran pandemik COVID-19.

Antara intipati Titah YDP Agong dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar Kerajaan segera melipatgandakan usaha memerangi COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini. Justeru, penglibatan dwipartisan menerusi kerjasama yang matang amatlah dialu-alukan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat. Kerjasama dwipartisan ini juga dilihat bakal membentuk landskap politik baharu yang membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

Pendekatan Keluarga Malaysia itu jelas terbukti apabila Kabinet pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bersetuju untuk melaksanakan tujuh (7) pembaharuan parlimen dan pentadbiran negara yang mana ia termasuklah beberapa pembaharuan yang pernah dijanjikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika cuba untuk mendapatkan sokongan pembangkang dalam cadangan rangka persefahaman rentas parti pada 13 Ogos lalu.

Menurut YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, komitmen ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Di antara pembaharuan yang mendapat persetujuan secara dwipartisan ialah pelaksanaan segera penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat tanpa menunggu pendaftaran secara automatik yang akan mengambil masa panjang untuk dilaksanakan.

Usul kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi ini diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan mendapat sokongan 211 daripada 222 Ahli Parlimen di mana menjadi satu sejarah kerana ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan sokongan semua pihak, baik dari pihak Kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Ahli Parlimen ketika itu secara majoriti menyokong beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Parlimen telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Sesi Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan Sesi Dewan Negara pada 25 Julai 2019 seperti berikut: i) Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had kelayakan umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun; ii) Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had kelayakan umur menjadi calon dari 21 kepada 18 tahun; dan iii) Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan untuk melaksana pendaftaran pemilih secara automatik.

Justeru, pada Oktober 2019, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menubuhkan jawatan kuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik. Jawatan kuasa ini bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan. Antara program kerjasama SPR dan JPN yang telah dirancang adalah mengadakan kempen secara besar-besaran bagi menggalakkan warganegara mengemaskini alamat bermastautin terkini di JPN. SPR turut melantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dalam kalangan ahli parti politik. Selain itu, SPR juga mencadangkan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Negeri bagi membolehkan calon berumur 18 tahun sebagai wakil Dewan Undangan Negeri (DUN). Manakala, pemilihan calon berumur 18 tahun sebagai wakil Dewan Rakyat telah mula dikuatkuasakan pada 11 September 2019. Di samping itu, SPR turut melaksanakan program pendidikan pengundi bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman berhubung proses

demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah. Justeru, SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan pengundi di sekolah-sekolah menengah dengan serta-merta. SPR juga telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah menengah.

Pada 25 Mac lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun yang sepatutnya dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini, dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan. Walau bagaimanapun kenyataan itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak terutama parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) belia yang menggesa supaya ia disegerakan.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan belia sepakat bahawa pelaksanaan Undi 18 bukan sahaja perlu disegerakan, malah gerakan hendaklah diadakan supaya ia disertakan dengan proses pendaftaran pemilih secara automatik. Mereka juga berpendapat Undi 18 akan meletakkan tanggungjawab kepada barisan muda menentukan landskap politik negara dengan memberi tekanan yang positif kepada parti-parti politik untuk menampilkan calon pilihan raya yang berwibawa. Bagaimanapun, kalangan NGO berkenaan juga berpendapat Kerajaan dan semua pihak berkaitan perlu turut memainkan peranan mendidik generasi muda tentang keperluan menggunakan hak mereka dengan betul dan mengundi berdasarkan etika bukan sekadar ikutan atau emosi.

Pada 3 September 2021, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan SPR dan Kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember 2021. Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima orang anak muda yang menggesa Kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Anak muda terbabit mewakili Gerakan Undi 18 mengemukakan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan dan SPR sebagai responden.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata langkah menyegerakan pelaksanaan Undi 18 adalah perkara yang ditunggu-tunggu yang mana perkara itu disepakati oleh kedua-dua blok parti sama ada Kerajaan atau pembangkang di Parlimen. Namun pada masa sama generasi muda perlu dididik bagaimana untuk menggunakan hak mengundi itu sebaik-baiknya.

Kesepakatan ini menunjukkan bahawa pentadbiran Kerajaan dan pembangkang beriltizam memberi peluang kepada golongan muda berumur 18 tahun menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri.

Di samping itu, kelayakan undi 18 ini juga menunjukkan bahawa suara, idea dan bakat golongan belia adalah didengari serta mendapat perhatian serius Kerajaan sementelahan mereka merupakan generasi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berpendapat bahawa konsep Keluarga Malaysia adalah konsep inklusif yang cuba diterapkan Kerajaan yang akan menjadi satu teras dalam kepemimpinan Perdana Menteri dalam memajukan negara. “Nilai-nilai harmoni, bersatu padu, ada rasa kecintaan, keprihatinan satu sama lain, kerukunan, kalau kita terjemah nilai-nilai itu dalam pengurusan negara ia menjadi satu falsafah pengurusan yang sangat besar maknanya pada pembinaan negara bangsa”. Ia mampu menjadi satu kekuatan yang cukup hebat kepada perpaduan dan semangat patriotik rakyat kepada negara lebih-lebih lagi konsep ini amat bertepatan diperkenalkan menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 September 2021.

Penulis,

Tinta Maya

Jabatan Komunikasi Komuniti

Jabatan Perdana Menteri

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAKenyataan Media

PERATURAN MENETAPKAN TARIKH HARI RAYA PUASA

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-...

BM @ MY LNAKenyataan MediaPolitik @ My LNAUTAMA

Rakyat Menuntut #Reformasi100Peratus Sekarang, Kerajaan Jangan Berdalih Lagi – BERSIH

Oleh : Jawatankuasa Pemandu Bersih Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

Adam Michael Nettina Photo: Department of Justice
Kenyataan Media

Deranged right-winger threatened to slaughter LGBTQ+ activists. He’s going away for a long time.

A court sentenced a 34-year-old man to two years in prison on...

Kenyataan Media

Bill O’Reilly is outraged that the book ban law he supports caused his own books to be banned

Former Fox News host Bill O’Reilly is angry that a Florida school...