PICK UTAMA

PPV Bergerak Untuk Masyarakat Orang Asli – Rahman

SUNGAI SIPUT 26 JUN 2021 – Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan seramai 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan vaksin bagi mencapai 80% imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, bagi tujuan tersebut, PPV Bas Bergerak MARA Liner untuk masyarakat orang asli akan dilaksanakan dengan kerjasama  Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Hospital Daerah Sungai Siput serta beberapa agensi kerajaan lain, ujar beliau ketika melancarkan program tersebut di sini hari ini.

“Seramai 60 orang masyarakat Orang Asli menerima suntikan vaksin Covid-19 di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC), Sungai Siput, Perak. Daripada jumlah tersebut, seramai 40 orangadalah tok batin masyarakat Orang Asli di Kuala Kangsar manakala 20 orang adalah warga emas masyarakat Orang Asli di sini” ujar beliau lagi.

Menurut Rahman lagi, kementerian sentiasa berusaha untuk memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin Covid-19 selain memastikan masyarakat orang asli tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan menerusi PPV Bergerak yang disediakan.