Ketika penulis mula menutup pintu rumah pada waktu malam tadi, penulis terpikir ada apa dengan pintu sehingga ia menjadi bahan bualan warga maya baru-baru ini.
Jadi penulis cuba menukilkan sesuatu berkaitan dengan pintu dan kaitannya di negara kita Malaysia.
Ada banyak juga lagu berkisar tentang pintu. Antaranya “Aci-Aci Bukak Pintu” nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Di Pintu Syurga dendangan Dayang Nurfaizah dan banyak lagi.
Pintu merupakan satu komponen penting dalam sesebuah ruang. Pintu juga memisahkan satu ruang dengan ruang yang lain.
Hidup kita dengan pintu bagai aur dan tebing, tidak dapat dipisahkan kerana tanpa pintu, kita hanya duduk dalam sesebuah ruang, tidak kemana-mana umpama orang sedang kuarantin disebabkan Covid-19 ketika ini.
Semasa penulis masih kecil, teringat kepada satu permainan “cak” iaitu bersembunyi di belakang pintu dan cuba untuk menakutkan mereka yang membuka pintu.
Menjadi kegembiraan kepada penulis bermain permainan sedemikian kerana tiada gajet mahupun permainan elektronik canggih di kala itu. Permainan “cak” sudah cukup dijadikan hiburan ketika itu.
Lantas penulis cuba menyorot kembali media sosial di mana teka teki tentang tutup pintu oleh Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Kanan Keselamatan.
Katanya “ Saya sudah tutup pintu depan tapi…………………….” sambil meninggal ikon kerisauan di hujungnya.
Sudah menjadi adat pemimpin, bila berteka, ada yang berteki. Pelbagai andaian dibuat sehingga khabarnya Memanda Menteri Kanan “bertelagah” dengan Memanda Menteri Kanan (Di Malaysia ada 4 Memanda Menteri Kanan) yang seorang lagi semasa mesyuarat.
Apa yang berlaku disebalik pintu ketika mereka dilaporkan bertelagah, hanya mereka dan sekeliling mereka sahaja yang tahu.
Menteri Kanan diibaratkan sebagai gajah. Rakyat diibaratkan sebagai pelanduk. Apabila gajah bertemu gajah, pelanduk mati ditengah-tengah. Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan kepada kehidupan rakyat yang sedang bertarung dikala pandemik Covid-19 mengganas.
Pintu Demokrasi Ditutup?
Sejak darurat diisytiharkan pada 12 Januari 2021, sehingga hari ini pintu demokrasi ditutup.
Pintu yang dimaksudkan adalah Parlimen, sebuah badan tertinggi untuk menggubal undang-undang negara. Walaupun ada satu ketika kes Covid-19 telah reda beberapa bulan yang lepas, pintu Parlimen masih ditutup.
Sudah hampir 6 bulan pintu Parlimen tidak dibuka walaupun Ahli Parlimen seramai 222 termasuk Memanda Perdana Menteri dan Memanda Menteri-Menteri telah divaksin.
Ada apa disebalik pintu parlimen sekiranya dibuka? Khabarnya, majoriti yang menyokong kerajaan pemerintah sudah kurang bilangannya. Khabar lain yang bertiup adalah mungkin ada usul undi tidak percaya kepada Memanda Perdana Menteri.
Desakan demi desakan waima daripada parti pemerintah dan parti pembangkang seolah-olah menyiram air ke daun keladi. Tiada apa yang mampu dilakukan oleh Speaker Dewan Rakyat mahupun Memanda Menteri Undang-Undang yang menjaga parlimen.
Bila diajukan soalan, ada sahaja 1001 alasan untuk diberikan. Parlimen hibrid yang melibatkan kehadiran fizikal dan kehadiran dalam maya juga sedang dalam kajian. Mungkin selepas darurat tamat, kajian pun selesai.
Tetapi apa yang dipersoalkan oleh rakyat marhaen, ketika pintu parlimen ditutup, elaun ahli parlimen masih berjalan.
Walaupun Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Negara Malaysia memperkenankan pintu persidangan parlimen dibuka, titah ini dipandang sepi oleh Memanda Menteri berkaitan.
Entahkan bila pintu parlimen hendak dibuka? Hanya mereka yang memegang “kuncinya” sahaja yang ada jawapan.
Pintu Untuk Perubahan?
Beberapa hari yang lepas, beberapa ahli politik kanan dijemput untuk menghadap.
Selepas Memanda Perdana Menteri menghadap Yang DiPertuan Agong sebagai rutin sebelum mesyuarat kabinet diadakan, pintu Istana Negara pula dibuka untuk pemimpin politik.
Adalah menjadi lumrah, Ketua Negara menjemput ahli-ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang menghadap. Kerana itu, “prerogratif” Baginda Tuanku yang tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa.
Bila mana ahli politik dijemput, banyak cadangan dan idea yang dilontarkan. Bukan untuk merampas kuasa, tetapi mencadangkan sesuatu cadangan dan idea yang lebih baik untuk negara. Negara ini milik kita bersama.
Ada yang mencadangkan Mageran, ada yang mencadangkan darurat ditamatkan, tidak kurang juga mencadangkan parlimen dibuka.
Apa pun cadangan yang dilontarkan, diambil perhatian oleh Yang Dipertuan Agong. Baginda adalah payung kepada rakyat Malaysia, menaungi rakyat dan tempat rakyat berharap.
Segala keluh kesah rakyat semuanya dalam pemikiran dan perhatian Baginda sebagai seorang pemerintah.
Pintu Istana Negara kini dilihat sebagai satu-satunya pintu untuk kita keluar dari kemelut yang melanda.
Sudah pastinya patik seperti juga rakyat Tuanku yang lain akan menanti hasil mesyuarat Sidang Khas Majlis Raja-Raja Melayu.
Dan sekali lagi, pintu Istana Negara akan dibuka pada 16 Jun 2021, mungkinkah ia pintu perubahan untuk rakyat Malaysia?
Dipanjatkan doa kepada Allah SWT semoga KDYMM Tuanku diberi kesejahteraan, dilanjutkan usia serta sentiasa dalam keadaan sihat wal afiat untuk terus mentadbir dan bersemayam di atas singgah sana takhta pemerintahan
Daulat Tuanku.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment