Ekonomi @ My LNA

Pelaburan Syarikat Austria Bernilai RM 8.5 Bilion Di Malaysia, Jana 5000 Peluang Pekerjaan

63

10 JUN 2021 – AT&S sebuah syarikat peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) global dan substrat litar bersepadu (IC) yang berpangkalan di Austria memilih Malaysia sebagai lokasi kilang pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan bernilai RM8.5 bilion (€1.7 bilion) bagi penghasilan PCB dan substrat IC berteknologi tinggi ini dijangka akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Projek yang akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini menjadi antara tarikan pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan pada 5 Jun tahun lalu dijangkaan akan mula beroperasi pada tahun 2024” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata negara amat mengalu-alukan keputusan AT&S untuk melabur di Malaysia dengan pelaburan di KHTP adalah yang terbesar dalam sejarah syarikat Austria itu.

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia menyuarakan perasaan sukacita dan amat mengalu-alukan keputusan AT&S untuk melabur di Malaysia”.

“Projek ini juga adalah antara projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan PENJANA” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Azmin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelaburan AT&S ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Trend ini konsisten dengan jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2021 seperti yang diumumkan oleh MITI dan MIDA berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan industri primer yang menunjukkan peningkatan 95.6 peratus dari suku yang sama tahun lalu” ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer berkata, selain menjadi pusat pengeluaran produk berteknologi tinggi, kemudahan di KHTP akan menempatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) AT&S.

“Selepas mencari lokasi secara intensif di seluruh dunia, Malaysia muncul sebagai negara di mana kami ingin terus maju dengan strategi AT&S dengan membawa teknologi terkini serta membangunkan teknologi baharu di negara ini.

“Malaysia juga dapat memanfaatkan kedudukannya sebagai negara teknologi dan berkemampuan memperkukuhkan rantau ini sebagai hab pembuatan teknologi tinggi di Asia,” katanya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles