Oleh : Penulis PKP3.0
Kebelakangan ini, penulis membaca mengenai keluh kesah rakyat kebanyakkan dalam mengharungi situasi Covid-19 yang membimbangkan. Ada yang resah gaji dipotong, ada yang resah perniagaan perlahan, ada yang resah tentang memikirkan sumber simpanan mendatang.
Entahkan bila hendak berakhir. Hanya Allah Tuhan Pemilik Segala Alam yang ada jawapannya. Dalam Surah Al-Baqarah Ayat 286 ada menyebut “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Di kala ini, penulis teringat akan kata-kata seorang sahabat yang pernah memberitahu mengenai satu frasa ayat berbunyi begini. “Apabila Sains Berakhir, Disitu Kekuasaan Allah Bermula”. Frasa kata ini mempunyai maksud mendalam.
Ya sama sekali benar apabila penulis memikirkan mengenai hampir setiap hari pengumuman oleh Ketua Pengarah Kesihatan yang memaklumkan akan kemuculan varian-varian baru Covid-19 yang lebih cepat bermutasi dan lebih ganas. Manakala kes sporadik pula tersebar dengan pantas.
Apa yang boleh dilakukan oleh kita hanyalah dengan mengikuti SOP yang ditetapkan serta mendaftar untuk menerima vaksin. Sehingga kini belum ada ubat khusus untuk pendemik yang sedang melanda dunia.
Adakah ini bermaksud sains yang ilmu kita hanya sedikit daripada pengetahuan Allah SWT? Penulis menyerahkan kepada pembaca yang budiman untuk berfikir kerana semua sumber ilmu itu datangnya daripada Allah SWT.
Moratorium Untuk Rakyat ?
Penulis bukan ingin mengulas mengenai kesihatan tetapi mengenai rakyat yang terhimpit. Sebelum ini kerajaan semasa mengumumkan PKP 1.0, moratorium bank diberikan kepada semua rakyat Malaysia.
Ketika itu, rakyat menarik nafas lega dengan inisiatif ini. Walaupun ia nampak kecil di mata rakyat, namun ia memberi seribu makna buat mereka. Moratorium Ketika PKP 1.0 itu membuatkan rakyat mempunyai “duit lebih” dalam poket untuk dibelanjakan bagi barang keperluan mahupun perkara-perkara penting.
Ketika PKP 1.0, tidak timbul istilah kerajaan tidak boleh memaksa bank mahupun alasan seperti bank akan hilang keuntungan atau ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi. Bank-bank masih mencatat keuntungan biarpun dalam situasi ekonomi tidak memberangsangkan ketika itu.
Namun begitu, hal berlainan berlaku ketika PKP3.0 diumumkan, tiada pengumuman mengenai moratorium pinjaman untuk rakyat. Seribu satu alasan diutarakan sehingga ada yang mengejek akan alasan-alasan yang tidak masuk akal.
Ketika Tengku Zafrul mengutarakan berhubung kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa bank-bank memberi moratorium kepada rakyat, pakar undang-undang muncul mematahkan hujah beliau. Ramai pakar undang-undang telah memaklumkan di bawah Ordinan Darurat, kerajaan mempunyai cukup kuasa mengarahkan bank-bank memberikan moratorium.
Antara yang lantang dalam mendesak Tengku Zafrul iailah Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki. Beliau dilaporkan menyenaraikan 3 akta yang boleh digunakan oleh Putrajaya untuk memberikan moratorium.
“Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk ‘Overrule’ atau membatalkan sebarang keputusan yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan Menteri bertanggungjawab.
“Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) juga memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan melalui BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.
“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memberikan Kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baru mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat Proklamasi Darurat.
“Hakikatnya, tanpa Ordinan Darurat pun, dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa Menteri Kewangan yang amat besar hingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi (overule) sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersil,” katanya.
Itu yang penulis baca bila Ketua Pemuda UMNO Malaysia “mengamuk” bagi mempertahankan serta menggesa kerajaan memberikan moratorium kepada rakyat.
Siapa Pemilik Bank?
Seperti mana yang umum sedia maklum, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memiliki saham penentu sekurang-kurangnya di empat bank komersil. Antaranya ialah Lembaga Urusan Tabung
Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Modal Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memiliki 83 peratus kepentingan dalam Bank Islam.
Manakala Khazanah Nasional memiliki 30 peratus saham dalam Bank Muamalat.
Selain itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) memiliki 62 peratus saham Maybank, selain 62.1 peratus kepentingan dalam CIMB – Bank dimana Tengku Zafrul pernah menjadi CEO suatu ketika dahulu.
Pendek kata, GLC yang dimaksudkan adalah kepunyaan rakyat. Mengapa kepunyaan rakyat? Kerana duit rakyat banyak dilaburkan di GLC di atas. Hakikatnya, untuk memulangkan waima sedikit kepada rakyat menerusi moratorium di kala pandemik ini amat sukar buat kerajaan.
Sudahlah hendak mendapatkan bantuan I-Sinar KSWP umpama melukut ditepi gantang. Inikan pula untuk mendapatkan moratorium dikala Putrajaya mengumumkan PKP3.0.
Alasan Tengku Zafrul bahawa kerajaan memberikan moratorium pembayaran pinjaman automatik untuk golongan B40.
“Jika mereka mohon, mereka boleh dapat,” jelasnya.
Pilihan moratorium pinjaman selama tiga bulan terbuka untuk peminjam daripada tiga kategori: kumpulan B40, mereka yang kehilangan pekerjaan dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP3.0.
Mereka boleh memilih pilihan itu atau mendapat potongan 50 peratus untuk pembayaran pinjaman mereka selama enam bulan.
Bagaimana dengan golongan M40 atau T20? Adakah mereka tidak terkesan dikala pandemik ini?
Menjaga Rakyat Atau Golongan Pemodal?
Tanpa keberanian, mimpi tidak bermakna. Adakah Putrajaya mempunyai keberanian untuk mengumumkan moratorium pukal untuk rakyat?
Seperti yang dilaporkan oleh Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil, bank-bank dan institusi-institusi kewangan adalah syarikat-syarikat yang besar. Dalam masa krisis pun mereka membuat untung berbillion ringgit dan mempunyai rizab yang besar.
“Mereka (bank-bank ini) boleh tampung untuk ikat perut yang buncit selama beberapa bulan sahaja, tidak seperti kebanyakan rakyat yang rata-rata kerugian dan tidak mempunyai rizab langsung semasa krisis”, ujar beliau.
Menurut Tengku Zafrul, jika kerajaan arah moratorium ini kepada bank, bank akan hilang keuntungan, dan bila ini berlaku ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kerana ia kononnya akan menghentikan manfaat ekonomi daripada aliran modal yang cekap terutama kepada pasaran kewangan dan pasaran modal (untuk pelaburan).
Mengenai aliran modal yang disebut oleh Zafrul untuk pelaburan dan sebagainya, kebanyakan aliran modal dari bank ini hanya berkitar di antara syarikat-syarikat dan komuniti korporat dan orang-orang kaya, bukannya antara rakyat biasa.
Isham menambah aliran modal ini adalah terhad dan secara efektifnya tidak menyeluruh dan tidak inklusif.
“Jika kerajaan arah moratorium pukal, aliran modal yang kebanyakannya ‘terhad’ kepada komuniti korporat ini akan lebih terbuka dan pergi lebih jauh dalam bentuk aliran tunai kepada rakyat dengan lebih inklusif walaupun buat sementara waktu di kala krisis.’’ ujar beliau lagi.
Jadi apa keutamaan kerajaan sekarang? Penulis memikirkan bahawa ekonomi negara bukan sahaja hanya melibatkan pasaran kewangan dan pelaburan modal. Sektor terbesar ekonomi negara adalah penggunaan domestik.
Di kala krisis, penggunaan domestik ini yang merudum dan menjadi masalah utama dan perlu diberi fokus dahulu, bukannya pasaran modal dan pelaburan. Jika rakyat mempunyai duit lebih dalam poket, ia akan hanya berkisar dan berbelanja di dalam negara. Untuk melancong jauh sekali. Apatah lagi melencong ke tempat-tempat pelancongan atau hiburan yang ditutup ketika PKP ini.
Adakah Putrajaya berani membuat “U-Turn” semula terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini? Di kala Putrajaya mengumumkan PKP1.0, rakyat amat menyanjung tinggi usaha Perdana Menteri sehingga beliau dipanggil “Abah”.
Di manakah abah ketika poket rakyat semakin kering? Adakah hanya cukup dengan menyasarkan golongan B40 dengan meminggirkan M40 dan T20? Penulis hanya mampu berdoa semoga diberikan jalan kepada kesulitan dan kekusutan yang melanda rakyat ketika ini. Semoga setiap tindakan akan dilihat dan dikaji semula oleh Putrajaya.
Penulis PKP3.0
Leave a comment