Beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain, tanpa persetujuan individu terbabit
28 Mei 2021 – Berhubung aduan sebilangan individu yang telah diberikan janji temu bagi vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari, hasil semakan dan siasatan awal mendapati bahawa beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit khususnya untuk menerima vaksin AstraZeneca.
“Pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai ini telah dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama.
Pihak CITF telah menghubungi salah satu pihak yang telah membuat tempahan slot dalam jumlah yang ramai iaitu pihak SELangkah. Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca maka menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.” kata CITF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Tambah CITF, pihak SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya.
“Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai.” kata CITF.
- Empat produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual
- COVID-19 : Jumlah kes sembuh meningkat ke 3,123 kes
- DOSM terima Anugerah Kecemerlangan PendokongPerkongsian Data Nasional (Sektor Awam)
- Gempa bumi di Rantau Sempadan Myanmar-India, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia
- Ketua Pengarah J-KOM hadiri Program Pelancongan Kebudayaan Ekonomi Malaysia di Temoh, Perak