COVID-19 PICK

Pemberian Vaksin AstraZeneca 2.0 Diperluas, Tempahan Secara Suka Rela Dibuka Bermula 23 Mei 2021

17 Mei 2021 – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAVMY) dalam satu ciapannya di akaun rasmi Twitter berkata, pemberian vaksin AstraZeneca akan diperluaskan dan melibatkan beberapa negeri lain seperti Johor, Sarawak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

Tempahan untuk vaksin AstraZeneca 2.0 akan dibuka pada 23 Mei 2021 bagi warga emas dan 26 Mei bagi penerima berusia 18 tahun ke atas melalui kaedah siapa cepat, dia dapat.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, orang ramai boleh menempah slot bagi mendapatkan vaksin tersebut secara suka rela di laman web rasmi dan Klinik Kesihatan yang berhampiran.

“Tempahan vaksin AstraZeneca seterusnya akan dibuka pada 23 Mei untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor di mana kes meningkat”.

“AstraZeneca juga akan dihantar ke rumah jagaan warga emas,” ciapnya di Twitter hari ini.