AMEkonomi @ My LNANiaga @ My LNA

Peruntukan RM 300 Juta Kepada Usahawan Mikro Dan Kecil Yang Terjejas

74

KUALA LUMPUR 7 April 2021 – SME Bank menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM300 juta kepada usahawan mikro dan kecil bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing di bawah Skim Pembiayaan Lestari Bumi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata Skim Pembiayaan Lestari Bumi ini dapat membantu usahawan mikro dan kecil negara yang terkesan dalam operasi perniagaan akibat daripada pandemik COVID-19.

“Terdapat hampir 2 juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara dan lebih 92% usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu” kata beliau.

Melalui skim ini, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000. Selain itu, usahawan juga turut mendapat akses kepada program-program latihan dan bimbingan yang lebih efektif dan tersusun melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR).

Beliau turut mengigatkan para usahawan agar mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak yang berwajib demi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan seterusnya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan.

“Menurut statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), terdapat 41,349 perniagaan yang terjejas dan tutup akibat pandemik ini pada tahun lepas” jelas beliau lagi.

Selain daripada pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi, SME Bank turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan tiga buah agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

MOU ini menyaksikan SME Bank bekerjasama dengan tiga buah agensi yang mempunyai peranan penting dalam membantu usahawan mikro dan kecil bagi menyokong agenda kerajaan dalam membina ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif terutamanya pasca COVID-19.

Turut hadir, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin (Pengerusi Eksekutif) AIM, Aria Putera Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank), Rakayah Hamdan (Timbalan Pengurus Besar SEDC) dan Dato’ Adam Abd Ghani (Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional).

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles