Alam Sekitar @ MY LNAAMCOVID-19 @ My LNA

KASA anggarkan pertambahan sebanyak 2,100 metrik tan sisa klinikal akan dihasilkan dalam tempoh 12 bulan pelaksanaan program imunisasi

88

5 April 2021 – Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa sejak penularan pandemik COVID-19 di Malaysia pada Disember 2019, terdapat peningkatan dalam penjanaan sisa klinikal bulanan sehingga 96 peratus. Katanya lagi jumlah kuantiti sisa klinikal tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak 4,082 metrik tan pada Januari 2021 berbanding 2,084 metrik tan pada Disember 2019.

“Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula 24 Februari 2021 lalu akan menambahkan lagi jumlah kuantiti sisa klinikal di seluruh negara.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganggarkan pertambahan sebanyak 2,100 metrik tan sisa klinikal akan dihasilkan dalam tempoh 12 bulan pelaksanaan program imunisasi.” kata Tuan Ibrahim di sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Menurut beliau lagi, Buku Garis Panduan Program Vaksinasi Lestari (Green Vaccination Program) adalah dokumen khas yang merangkumi tatacara pengurusan bahan buangan klinikal, pembudayaan amalan hijau dan inisiatif pengimbangan pelepasan Gas Rumah Kaca di semua pusat pemberian vaksin dan fasiliti kesihatan yang menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Saya telah merasmikan Buku Garis Panduan Program Vaksinasi Lestari (Green Vaccination Program) pada hari ini bersama-sama dengan YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan.

Saya berharap garis panduan ini dapat memberi panduan kepada semua pemegang taruh untuk memastikan kelestarian alam sekitar terus terjamin di samping usaha memerangi penularan pandemik COVID-19.” ujar Tuan Ibrahim.

Berdasarkan peruntukan di bawah Jadual Pertama, Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta 127, bahan buangan klinikal yang dihasilkan daripada aktiviti perubatan dan kesihatan dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual. Ia terdiri daripada bahan buangan patogenik, bahan buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan yang mempunyai ciri bahan buangan berjangkit. Bahan-bahan ini perlu diurus dan dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, Akta 127.

Untuk tujuan pembudayaan amalan hijau, penggunaan plastik sekali guna (selain bagi tujuan perubatan) di PPV adalah tidak digalakkan. PPV juga dicadangkan untuk dilengkapi dengan kemudahan tong kitar semula mengikut jenis sisa pepejal bagi memudahkan proses pengasingan sisa. Selain itu, PPV perlu mengamalkan pendekatan cekap tenaga dan cekap air bagi mengurangkan pembaziran penggunaan tenaga elektrik dan air. Urusan perolehan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga digalakkan untuk menggunakan Perolehan Hijau Kerajaan 3.0


Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar...