Alam Sekitar @ MY LNAAM

PERHILITAN dan KLHK kerjasama laksanakan repatriasi 9 ekor Orang utan Sumatera ke Jakarta, Indonesia

209

PUTRAJAYA 17 Disember 2020 – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah bekerjasama dengan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK) Republik Indonesia melaksanakan pepatriasi 9 ekor Orang utan Sumatera (Pongo abelii) ke Jakarta, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah, penghantaran pulang Orang utan Sumatera tersebut adalah obligasi negara di bawah peruntukan Artikel VIII, Teks Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

“Orang utan adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan liar 2010 [Akta 716]. Orang utan juga disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta 686 di mana spesies ini tidak boleh diperdagangkan, sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.

Jabatan PERHLITAN telah menerima 9 ekor Orang utan Sumatera hasil rampasan daripada beberapa aktiviti penguatkuasaan perdagangan haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia. 7 ekor daripadanya adalah hasil rampasan daripada 3 kes pada tahun 2018 dan 2019 oleh Jabatan PERHILITAN, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) yang diseludup masuk melalui jalan laut. Manakala 2 ekor lagi adalah daripada serahan kepada Jabatan PERHILITAN dan aduan orang awam pada tahun 2018.” kata Dr. Shamsul Anuar menerusi satu kenyataan media yang diedarkan hari ini.

Katanya lagi, Kesemua Orang utan Sumatera tersebut ditempatkan di bawah jagaan Jabatan PERHILITAN di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

“Hasil ujian DNA oleh Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan Jabatan PERHILITAN, kesemua Orang utan tersebut telah disahkan berasal daripada spesies Pongo abelii (Sumatran orangutan). Sehubungan itu, Kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk menerima repatriasi Orang utan ini ke Indonesia.

Kes-kes perdagangan haram Orang utan ini melibatkan 2 orang warganegara Malaysia dan 6 orang warganegara Indonesia. Siasatan kes-kes ini dijalankan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di mana bagi satu kes yang telah selesai penghakiman, pesalah yang terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 3 orang warganegara Indonesia telah dijatuhkan beberapa jenis hukuman yang berlainan seperti denda sehingga RM50,000 serta penjara selama 4 tahun.” ujar Dr. Shamsul Anuar.

Kerajaan Malaysia menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan hidupan liar yang diseludup dengan menjalankan inisiatif memelihara kesemua Orang utan ini dan mengembalikannya kepada negara asal. Dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih berpanjangan ketika ini, proses repatriasi tersebut merupakan satu kejayaan unik buat pihak Kerajaan khususnya KeTSA.

“KeTSA menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyokong usaha Kerajaan Malaysia memerangi jenayah penyeludupan hidupan liar.

Saya menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dengan melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN di 1800-88-5151.” kata Dr. Shamsul Anuar.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...