7 November 2020 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berterima kasih kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam di Parlimen kerana mengiktiraf jaringan telekomunikasi sebagai ulititi ketiga di mana ini dapat mempercepatkan proses kelulusan dan pembinaan infrastruktur telekomunikasi.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Dato’ Saifuddin Abdullah melalui siaran media yang diedarkan hari ini, KKMM menganggap Belanjawan 2021 mampu menjadi katalis kepada kesalinghubungan internet, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
“Penggunaan internet seperti e-dagang, ekonomi gig dan pendidikan dalam talian juga telah meningkat dengan ketara di setiap lapisan masyarakat yang seterusnya mempercepatkan pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0.
Belanjawan ini turut memberi fokus kepada pertumbuhan berterusan ekonomi digital negara yang dilihat sebagai langkah proaktif Kerajaan dengan mengambil kira manfaatnya melangkaui keseluruhan segmen masyarakat serta membantu proses pemulihan ekonomi negara.”ujarnya.
Menurut Saifuddin, pelbagai inisiatif telah dirancang untuk menambaik baik infrastruktur telekomunikasi negara seperti berikut:
- Program Jaringan Prihatin dalam bentuk bantuan kredit telekomunikasi RM180 seorang untuk golongan B40 berjumlah RM1.5 bilion;
- Data internet percuma melalui padanan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi berjumlah RM1.5 bilion;
- Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk kesalinghubungan 430 sekolah seluruh negara berjumlah RM500 juta;
- Perluasan perkhidmatan jalur lebar bagi tempoh 2021 – 2022 melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjumlah RM7.4 bilion (SKMM); dan
- Kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian di bawah pelan JENDELA berjumlah RM42 juta.
Berhubung dengan fokus kepada pertumbuhan berterusan ekonomi digital negara, Saifuddin menggariskan program-progam berikut :
- Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjumlah RM100 juta bagi memudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada ke bidang ICT;
- Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion bertujuan merancakkan kembali aktiviti pendigitalan dan automasi sehingga 31 Disember 2023; dan
- Insentif Shop Malaysia Online yang dilaksanakan oleh MDEC berjumlah RM150 juta bagi menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian dan bakal memanfaatkan 500 ribu usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan.
“Selain itu bagi memacu perkembangan ekonomi kreatif, peruntukan sebanyak RM15 juta diberikan kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) untuk menggerakkan program-program kesenian dan kebudayaan negara. Belanjawan ini dilihat mampu memanfaatkan lebih 5,000 penggiat seni serta petugas-petugas produksi belakang tabir.
Dalam usaha pendigitalan dan memperluaskan rangkaian telekomunikasi, Kerajaan juga tidak berkompromi dalam isu kawalan keselamatan siber negara. CyberSecurity Malaysia (CSM) diberi peruntukan RM27 juta bagi menangani jenayah siber.” ujar Saifuddin.
Leave a comment