AMSains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MCMC akan anjurkan siri Makmal Infrastrukur Digital Negara (Makmal) bermula 13 Julai 2020 sehingga 14 Ogos 2020 – Saifuddin

75

9 Julai 2020 – Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Dato’ Saifuddin Abdullah pada hari ini menyatakan bahawa wabak COVID-19 dan pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menunjukkan kesalinghubungan digital negara perlu dipertingkatkan secara menyeluruh dengan segera dan peningkatan permintaan untuk akses internet menjadi dorongan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk terus mempergiatkan usaha mempertingkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar negara.

Menurut Saifuddin, pendekatan baharu yang berpaksikan kepada sinergi kerjasama antara Kerajaan dan pemain industri diperlukan untuk menghasilkan proses pembaikan yang cepat.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan siri Makmal Infrastrukur Digital Negara (Makmal) bermula 13 Julai 2020 sehingga 14 Ogos 2020 untuk menetapkan semula sasaran-sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital negara, serta merangka perancangan yang lebih teratur dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti.

Antara objektif makmal ini adalah pemetaan menyeluruh bagi infrastruktur komunikasi negara, perancangan bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar, serta langkah-langkah mengoptimumkan sumber-sumber seperti spektrum dan gentian optik bagi menambah baik kesalinghubungan digital negara.” maklum Saifuddin menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Menteri KKMM itu lagi, penyertaan daripada pihak industri untuk sesi makmal ini telah dikenal pasti berdasarkan beberapa kriteria penting. Di antaranya ialah jumlah pelanggan yang tinggi (lebih 10% daripada pasaran mudah alih, atau lebih 5% daripada pasaran talian tetap), mempunyai liputan perkhidmatan sedia ada, selain telah melabur di dalam infrastruktur digital yang berkaitan dan mengendali rangkaian hujung-ke-hujung (end-to-end network management), kesalinghubungan antarabangsa, dan juga kecekapan penggunaan spektrum di dalam rangkaian perkhidmatan.

Tambah beliau, wakil daripada Kementerian dan agensi yang berkaitan juga akan dijemput untuk sesi ini di mana pendekatan ini penting bagi membolehkan MCMC merangka pelan tindakan yang komprehensif dan cepat, supaya ianya boleh dilaksanakan selaras dengan keperluan baharu ini.

“Saya sedia maklum bahawa terdapat ramai lagi para pelesen dan pemegang taruh lain yang boleh membantu mengenal pasti dan mengemukakan jalan penyelesaian bagi perkara ini. Oleh itu saya juga mengalu-alukan mereka untuk memajukan cadangan kepada MCMC.

Saya yakin bahawa pendekatan baharu ini mampu menghasilkan sasaran yang positif bagi negara dari segi liputan, capaian jalur lebar dan kualiti perkhidmatan, serta pemudahcara yang lebih baik untuk manfaat Rakyat Malaysia. Untuk memastikan kejayaan usaha ini, saya akan memantau perkembangan makmal ini dari semasa ke semasa.” ujar Saifuddin.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles