22 Jun 2020 – Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berpandangan bahawa siri tindakan di mana Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Pakatan Harapan telah dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat merupakan satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik yang dilakukan oleh pihak Perikatan Nasional.
“Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengambil maklum siri tindakan di mana Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Pakatan Harapan telah dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat, dan ada kalanya tindakan-tindakan ini bersekali laporan-laporan media yang menimbulkan persepsi tertentu terhadap individu-individu tersebut.
Majlis Setiausaha berpandangan bahawa tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik. Kami mengecam keras tindakan-tindakan intimidasi ini.” tegas Majlis Setiausaha PH melalui kenyataan media yang diedarkan semalam.
Tambah Majlis Setiausaha PH lagi pihak Perikatan Nasional (PN) seharusnya lebih matang dan terbuka dalam menangani pendirian
politik yang berbeza dari yang dipegang PN itu sendiri.
“Tindakan-tindakan intimidasi seperti ini hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia.
Kami menggesa agar tindakan-tindakan intimidasi ini dihentikan serta-merta. Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari pihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka.” tegas Majlis Setiausaha PH.
Leave a comment