AMKesihatan @ My LNA

Kenyataan Akhbar KPK 30 Mac 2020 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

157

BY DG OF HEALTH ON MARCH 30, 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baharu disahkan. Ia merupakan kes rabies pertama yang dilaporkan pada tahun ini dan merupakan kes ke-23 bagi wabak rabies Sarawak yang diisytiharkan sejak 31 Julai 2017. Kes rabies terakhir yang dilaporkan di Sarawak adalah pada 8 November 2019.

Kes ini adalah seorang kanak-kanak perempuan, warganegara Malaysia yang berumur lima (5) tahun yang tinggal di Bandar Sibu, Sarawak. Beliau pernah diserang dan digigit oleh anjing liar pada 8 Mac 2020 di bahagian muka, mulut dan kelopak mata. Walau bagaimanapun, luka gigitan tersebut tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun sejurus selepas kejadian. Beliau kemudiannya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari yang sama.

Beliau telah mendapat suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan dua (2) dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat di Hospital Sibu. Pada 13 Mac 2020, beliau telah didiscaj dalam keadaan sihat. Dos ke-tiga vaksin anti-rabies telah diambil pada 16 Mac 2020.

Pada 24 Mac 2020, beliau telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam dan seterusnya ke Hospital Sibu pada 25 Mac 2020 kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi. Beliau telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Keadaannya bertambah teruk dan telah disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Punca kematian adalah rabies encephalitis.

Sampel daripada kanak-kanak ini telah diambil pada 26 Mac 2020 dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 29 Mac 2020. Anjing liar yang mengigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac 2020 namun tiada sampel yang diambil.

KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  1. Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  2. Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  3. Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  4. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  5. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  6. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

30 Mac 2020

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAUTAMA

Iktibar perpaduan dari anyaman ketupat

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Aidilfitri menjelang lagi. Perayaan ini disambut seluruh...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Jangan Hidupkan Budaya Toksik Ketika Menjayakan Tradisi Berkumpul

Oleh : Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli, Pensyarah, Jabatan Fiqh dan...