AMSains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Cadangan Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (AKTA 709): Satu rundingan awam akan dilaksanakan – Gobind

104

12 Februari 2020 – Susulan daripada kajian semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang dijalankan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi membuat pindaan-pindaan penambahbaikan yang relevan, satu rundingan awam akan dilaksanakan pada 14 Februari 2020 hingga 28 Februari 2020.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo di dalam kenyataan media hari ini, kerajaan sedang mempertimbangkan peruntukan yang memperketatkan lagi perlindungan data peribadi dan memperluaskan bidang kuasa sistem yang sedia ada serta tindakan ke atas pihak yang memperolehi atau memiliki data peribadi secara tidak sah.

“Maka KKMM melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta 709 pada tahun 2019 melalui
penubuhan empat pasukan kerja iaitu Pasukan Kerja Industri Perniagaan dan Sektor Kerajaan, Pasukan Kerja Pematuhan dan Penguatkuasaan, Pasukan Kerja Inovasi dan Teknologi, dan Pasukan Kerja Perundangan dan Tadbir Urus.

JPDP turut mengadakan beberapa siri bengkel yang telah melibatkan pelbagai pakar dan profesional daripada pihak industri dan agensi pengawalselia ( regulator ), agensi Kerajaan serta para akademik.

Melalui proses kajian ini, kita telah mengenalpasti jurang dan kedudukan Akta 709 berbanding perundangan perlindungan data peribadi di negara-negara lain seperti negara ASEAN, Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU-GDPR).” jelas Gobind.

Tambah beliau, meluaskan pemakaian akta kepada pemproses data ( data processor ), mewajibkan pengguna data ( data user ) melaporkan insiden ketirisan data peribadi kepada pihak berkuasa, meluaskan hak-hak subjek data ( data subject ) dan memudahkan urusan pemindahan data peribadi rentas sempadan ( cross border data transfer ) adalah antara pindaan utama yang telah dicadangkan.

“Pindaan ini adalah penting bagi memperkasakan perlindungan data peribadi di Malaysia di samping memastikan akta sedia ada selari dengan kehendak revolusi ekonomi digital, teknologi, sosial dan perkembangan persekitaran.

Susulan daripada kajian tersebut satu rundingan awam akan dilaksanakan pada 14 Februari 2020 hingga 28 Februari 2020. Orang ramai boleh mengakses dan memberi maklum balas melalui laman sesawang JPDP https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/ . Pemurnian terhadap rangka pindaan akta pula akan dilaksanakan pada bulan Mac.” kata Gobind lagi.

Cadangan ini dilihat amat tepat pada masanya kerana sejak beberapa tahun lepas, isu penyalah gunaan data peribadi tersebut menjadi satu isu yang besar di kalangan rakyat di negara ini. Ramai mendakwa data peribadi mereka terutamanya no telefon bimbit telah dijual oleh pihak telco kepada pihak ketiga bagi tujuan pengiklanan dan tujuan tuntutan hutang ( debt collection ) oleh pihak-pihak tertentu seperti pihak bank.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles