LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

MENTERI MESTECC TURUN PADANG MEMERIKSA INFRASTRUKTUR PENCEGAHAN PEMBAKARAN TERBUKA DI JOHAN SETIA, KLANG

5 FEBRUARI 2020, KLANG – Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Puan Yeo Bee Yin semalam telah turun padang untuk memeriksa infrastruktur yang diwujudkan khusus untuk membantu mencegah pembakaran terbuka sepanjang musim panas dan kering di Johan Setia, Klang.

Pemeriksaan infrastruktur ini merupakan langkah proaktif MESTECC melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menghadapi cuaca kering dan panas yang dijangka berlaku pada bulan Mac nanti.

Selain pemeriksaan telaga tiub dan sekatan saliran, Menteri MESTECC telah diberi taklimat ringkas oleh agensi teknikal mengenai fungsi-fungsi infrastruktur dalam mengawal paras air dalam tanah gambut sebagai langkah awal pencegahan kebakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering.

Sehingga kini, MESTECC telah membelanjakan sebanyak RM1,028,840.00 untuk membina dan menaiktaraf infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut di Johan Setia iaitu enam (6) unit piezometer, dua (2) buah telaga tiub dan lima (5) unit sekatan saliran (check dam) yang ditempatkan di beberapa kawasan strategik.

Piezometer merupakan sejenis alat untuk mengukur paras air bawah tanah di dalam tanah gambut sebagai amaran awal sekiranya tahap kekeringan tanah gambut di sesuatu kawasan menjadi rendah. Dalam keadaan tahap kekeringan yang rendah, telaga tiub yang dibina di dalam akuifer (lapisan batu yang mengandungi air), air tanah akan diaktifkan dengan mengepam dan mengeluarkan air bawah tanah bagi mengairi kawasan tersebut. Sumber air ini adalah daripada akuifer yang lebih dalam yang bukannya daripada lapisan gambut.

Air bawah tanah yang dipam keluar ke dalam parit yang berdekatan di mana sekatan saliran ditutup supaya air akan terkumpul di sekatan saliran bagi tujuan memastikan kelembapan tanah gambut di dalam musim panas dan kering.

Lawatan ini turut disertai oleh Timbalan Menteri, YB Isnaraissah Munirah Majilis, Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Dr. Ir. Siti Hamisah Tapsir serta Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar.

Sebelum itu YB Menteri MESTECC bersama Menteri Besar Selangor telah mempengerusikan mesyuarat Membincangkan Insiden Pembakaran Terbuka di Johan Setia, Klang.

MESTECC melalui JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah. Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 atau https://eaduan.doe.gov.my serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999. Orang ramai juga boleh menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan maklumat terkini status kualiti udara melalui laman portal JAS: www.doe.gov.my serta melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *