AMPendidikan @ My LNA

Cadangan Pelaksanaan semula PPSMI dikritik ABIM dan Ketua AMK Selangor

241

1 Februari 2020 – Cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan dikritik oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor.

Menurut Setiausaha ABIM, Mohammad Fazril Mohd Salleh yang kesal cadangan ini masih dikemukakan, banyak kajian dan petunjuk akademik secara terang menunjukkan kegagalan dasar tersebut yang telah memangsakan ramai pelajar.

“Ini jelas ditunjukkan pada data pencapaian UPSR 2008 yang telah memangsakan 170,000 murid yang gagal kedua-dua mata pelajaran Sains dan Matematik.

Bahkan peratusan murid ke bidang Sains semakin menurun secara konsisten sehingga ke hari ini. Generasi PPSMI yang menceburi bidang sains menurun daripada 29.35% pada 2012, menurun kepada 28.90% pada 2013, turun lagi kepada 28.69% pada 2014, dan terus menurun kepada 23.15% dan 23.19% pada 2016 dan 2017.

Jika kegagalan bertutur dalam Bahasa Inggeris dijadikan hujah pada graduan masa kini, harus diingat masih ada kohort pelajar yang mengikuti PPSMI sehingga hari ini iaitu untuk pelajar tingkatan 3 hingga tingkatan 5 pada tahun ini. Ini disebabkan PPSMI yang telah dimansuhkan pada tahun 2012 adalah bersifat secara “soft landing” oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini adalah Presiden Parti Peribumi Bersatu (BERSATU).” kata Fazril di dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, YB Mohd Najwan Halimi menyifatkan cadangan tersebut merupakan langkah ke belakang dan merupakan idea lapuk peninggalan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) yang telah ditolak oleh mana-mana pakar bahasa.

“Sangat penting agar seluruh Jemaah Menteri menolak gesaan Pemangku Menteri Pendidikan ini di dalam mesyuarat kabinet, dengan tidak membiarkan ia datang daripada seorang yang pada masa sama merupakan Perdana Menteri. Bahkan, gesaan ini sama sekali tidak termasuk di dalam manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Jemaah Menteri sangat bertanggungjawab untuk menggesa agar perkara utama dalam usaha Reformasi dilakukan dan bukan kembali kepada dasar lama kerajaan lama. Antara kajian segera yang perlu dilakukan dan mencapai persetujuan bersama adalah seperti pengukuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta sekolah kebangsaan satu aliran yang perlu mengajar Bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda – seperti bahasa Cina, bahasa Tamil dan lain-lain – yang perlu kepada rakyat Malaysia.” tegas Najwan di dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Najwan semua dasar utama perlulah melalui perbincangan menerusi mesyuarat kabinet sebelum dikemukakan untuk wacana umum. Cara ini akan memastikan pentadbiran dan komunikasi kerajaan dilaksanakan dengan lebih teratur.

Baru-baru ini media melaporkan bahawa YAB Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman bahawa PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara. Beliau berkata mata pelajaran Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini. Oleh sebab itu banyak sumber rujukan kepada kedua mata pelajaran tersebut adalah di dalam Bahasa Inggeris dan berdasarkan faktor tersebut Bahasa Inggeris akan digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...