PUTRAJAYA 14 Januari 2020 – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada hari ini melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap insiden kebakaran hutan yang sedang melanda di Australia pada ketika ini. Krisis yang berlaku sejak September 2019 telah mengakibatkan kerosakan besar kepada Australia serta turut melibatkan kehilangan nyawa manusia dan hidupan liar selain kemusnahan kawasan berhutan.
Dalam pada itu, berikutan dengan keadaan cuaca yang lebih kering dijangka berlaku di Semenanjung Malaysia, KATS menasihatkan agar semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
“Selain itu, pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dan semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.
Kebakaran hutan yang berlaku di Australia seharusnya menyedarkan semua pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menambah baik perlindungan alam sekitar dan menangani ancaman yang semakin meningkat terhadap ekosistem akibat perubahan iklim. Antara impak kebakaran hutan terhadap alam sekitar adalah kemusnahan habitat semulajadi, fenomena jerebu, masalah kesihatan dan kehilangan kepelbagaian biologi hutan” tegas KATS di dalam kenyataan media pada hari ini.
Menurut KATS, antara tindakan pencegahan dan pengawalan kebakaran hutan di Semenanjung Malaysia, khususnya di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah seperti berikut:-
- Bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MySA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kedudukan hot spot dan kawasan risiko kebakaran melalui pencapaian sistem maklumat Forest Fire Information System (ForFIS) yang dikendalikan MySA dan sistem Forestfire Detector Risk System (FDRS) yang dikendalikan oleh MET Malaysia;
- Bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi membina telaga tiub (tube well) dan check dam di kawasan yang berpotensi mengalami kejadian kebakaran hutan. Sehingga kini, sebanyak 85 telaga tiub telah dibina di Semenanjung Malaysia di dalam HSK, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik;
- Membina Menara Tinjau di kawasan yang berpotensi mengalami kebakaran hutan;
- Bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam mengadakan latihan atau kursus mengenai pencegahan dan pengurusan kebakaran hutan kepada anggota Pasukan Semut Merah yang terdiri daripada anggota setiap Jabatan Perhutanan Negeri dan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia;
- Menyediakan peralatan pencegahan kebakaran hutan kepada Pasukan Semut Merah untuk digunakan semasa operasi pencegahan kebakaran hutan berlaku; dan
- Bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengadakan Kempen Pencegahan Kebakaran Hutan kepada masyarakat di negeri-negeri.
Leave a comment