KUALA LUMPUR 4 Disember – Rapid KL pada hari ini tampil memberi penjelasan mengenai gangguan terhadap perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku dari jam 6 pagi sehingga 11 pagi hari ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan insiden tersebut berlaku apabila satu jentera penyelenggaraan atau ‘flat car’ tergelincir pada awal pagi ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.
Tambah Rapid KL, kerja-kerja mengeluarkan jentera berkenaan dijalankan serta merta tetapi tidak dapat diselesaikan sebelum pukul 6 pagi untuk membolehkan perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa. Difahamkan insiden itu juga merosakan kabel isyarat (signaling cable) dan peralatan bekalan kuasa dilandasan (power rail).
“Bagi memastikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya tetap beroperasi, Rapid KL melaksanakan mod perkhidmatan terhad dengan pergerakan satu hala dari Gombak ke Pasar Seni. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya tren-tren LRT Kelana Jaya terpaksa bergerak dengan kelajuan yang diperlahankan dan berhenti di stesen-stesen lebih lama dari biasa.
Perkhidmatan LRT daripada KLCC ke Gombak diberhentikan sementara untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan jentera tergelincir dan pembaikan trek diteruskan. Perkhidmatan antara Putra Heights dan KLCC berjalan seperti biasa.
Rapid KL telah mengadakan perkhidmatan bas perantara khas percuma daripada Gombak ke KLCC sehingga jam 10.30 pagi. Para penumpang yang ingin keluar dari platform untuk menggunakan perkhimatan lain juga diberi bayaran balik bagi token atau kad Touch N’Go masing-masing.” jelas Rapid KL.
Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya ini dan perkhidmatan dijangka pulih dan kembali normal pukul 2 petang ini manakala perkhidmatan rel lain iaitu perkhidmatan MRT Sungai Buloh ke Kajang, LRT Ampang/Sri Petaling dan Monorel tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.
Leave a comment