22 September 2019 – Cuaca berjerebu yang melanda rantau negara dijangka bertambah baik berikutan dengan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 6 Mei 2019.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) semalam, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September 2019 dan ia akan berterusan sehingga awal November 2019. Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir.
“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh. Sehubungan dengan itu, cuaca berjerebu yang melanda rantau negara dijangka bertambah baik.” jelas MET Malaysia di dalam kenyataan tersebut.
Met Malaysia juga menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia (facebook, twitter dan instagram).
Untuk mengetahui lebih lanjut megenai fenomena cuaca sila klik SINI.
Leave a comment