JOHOR BAHRU 9 MAC 2021 – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun adalah antara yang ditahan oleh pihak polis Johor kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan menerusi iklan di Facebook dan menyamar menjadi kenalan dan ahli keluarga mangsa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan remaja tersebut menerima tawaran gaji RM2,500 sebulan serta turut menerima habuan berbentuk lima peratus komisyen daripada hasil penipuan yang berjaya dilakukan.
Beliau berkata remaja berkenaan adalah antara 18 ahli sindiket yang ditahan dalam serbuan di bawah OPS Puyuh di beberapa buah premis di Kempas dan Setia Indah, dari pukul 4 petang sehingga 10 malam pada 7 Februari 2021.
“Semasa serbuan dan pemeriksaan, polis merampas 60 telefon bimbit pelbagai jenama, 13 buku nota mengandungi butiran skrip perbualan serta 17 kad ATM pelbagai jenis bank yang digunakan sindiket ini untuk menipu mangsa dengan menyamar sebagai kenalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor siang tadi.
Kesemua suspek yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga perempuan tempatan berbangsa Cina berusia antara 15 hingga 35 tahun, disyaki mula menjalankan aktiviti itu sejak awal bulan ini.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menipu mangsa dengan menyamar sebagai kenalan dan ahli keluarga melalui panggilan telefon dan WhatsApp. Kesemua tangkapan telah direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 8 Mac.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda.
Pihak polis masih giat memburu dalang sindiket penipuan ini termasuk juga mengenal pasti sama ada masih terdapat saki baki anggota sindiket tersebut yang masih bebas” ujarnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar membuat semakan nombor telefon dan akaun bank terlebih dahulu melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sama ada pernah terlibat dengan kes yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sebelum membuat transaksi kewangan.
- PT. Eka Mas Republik (MyRepublic) Celebrates Double Recognition at ACES Awards
- Hong Kong’s premier ink art event UOB Art in Ink Festival returns this December, fostering art inclusivity
- Arbor Partners With Japanese Aomori Prefecture To Unveil A New Japanese-French Culinary Feast
- Beloved Disney ∙ Pixar Characters Come to Life as 10 FURRY NICE Collectible Furry Friend Sets at 7-Eleven
- Anglo-Chinese School Students Crowned as the Grand Winner of the Samsung Solve for Tomorrow 2024 Competition
Leave a comment