PUTRAJAYA 21 Disember 2020 – Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) Bilangan 1 Tahun 2020 yang berlangsung pada hari ni bersetuju dengan cadangan penggunaan Plat Kenderaan OKU bagi menggantikan pelekat kenderaan OKU yang dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan ini adalah kategori Fizikal, Sub Kategori OKU Pembelajaran iaitu Attention Deficit Hyperactive Disoder (ADHD) Severe, Autism Severe, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (1 waris) yang berdaftar dengan JKM.
Cadangan ini akan membolehkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan fasiliti OKU dapat dilaksanakan secara bersepadu dan meluas oleh pihak berkuasa.” kata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu siaran media yang diedarkan hari ini.
Selain itu, Sekretariat Pembangunan Inklusiviti Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia pula mengemukakan cadangan Penubuhan Yayasan Pembangunan Orang Kurang Upaya (YPOKU) yang dilihat amat bertepatan dengan keperluan semasa dan akan memberikan implikasi yang signifikan kepada pembangunan dan pemerkasaan OKU di Malaysia.
“Mesyuarat MKBOKU secara dasarnya setuju mengenai cadangan penubuhan Yayasan OKU. Walau bagaimanapun, pelaksanaan, struktur dan mekanisme bagi cadangan ini akan diperhalusi dan diperincikan terlebih dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan.” kata JKM.
Menurut JKM lagi, dalam mesyuarat yang sama empat kertas makluman telah dibentangkan iaitu Pelan Perancangan Bersepadu Penambahbaikan Penyertaan Orang Kurang Upaya dalam Perkhidmatan Awam, Kemudahan dan Aksesibiliti yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada OKU di Tempat Mengundi, Hak Pekerja OKU di bawah Undang-Undang di Malaysia, dan Pengurusan & Pemberdayaan OKU Kelantan.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang mempengerusikan Mesyuarat MKBOKU tersebut berharap agar MKBOKU akan terus diperkasa bagi memperjuangkan hak OKU serta menjadi platform kepada Kerajaaan ke arah pembangunan dan pemerkasaan OKU di negara ini.
Leave a comment