MY LNA AGENCY

Life News Agency Malaysia

Malaysia akan perolehi peningkatan KDNK sebanyak RM16 bilion setahun setelah RCEP berkuatkuasa – Azmin Ali

KUALA LUMPUR 22 Disember 2020 – Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa berdasarkan kepada unjuran awal oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menunjukkan bahawa negara akan memperolehi peningkatan KDNK sebanyak RM16 bilion setahun setelah Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau atau Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) berkuatkuasa.

Ketika menjawab pertanyaan lisan dari YB Datuk Mohan A/L Thangarasu, Azmin turut menjelaskan bahawa sebuah lagi agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) yang diterajuinya iaitu Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) yang bertanggungjawab ke atas promosi dan pembangunan perdagangan Malaysia, membuat unjuran prestasi eksport Malaysia ke pasaran RCEP akan meningkat sebanyak RM21 bilion setahun.

“RCEP berupaya membantu pihak industri tempatan mempertingkatkan akses barangan atau produk tempatan ke pasaran negara-negara peserta RCEP dengan menikmati preferential treatment melalui penghapusan dan pengurangan tarif secara progresif.

Selain daripada tarif, pengurangan halangan bukan tarif atau non-tariff measures (NTMs) yang merupakan salah satu cabaran utama dalam menembusi pasaran antarabangsa juga merupakan manfaat utama penyertaan Malaysia dalam RCEP. Ini boleh dicapai menerusi penyelarasan tatacara import dan eksport, pengiktirafan secara timbal balas dan penerimaan standard industri dan teknikal negara masing-masing serta perkongsian maklumat.” ujar Azman.

Tambah beliau syarikat-syarikat tempatan dapat memperkukuhkan integrasi dalam rantaian nilai dan bekalan global (global value and supply chain) dengan pembekalan bahan mentah, komponen, barangan separa siap dan siap di pasaran RCEP.

“Integrasi ini diperkukuhkan lagi melalui rules of origin yang lebih mudah digunakan berikutan keseragaman di antara kesemua negara peserta RCEP.

Justeru itu, Perjanjian RCEP dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca COVID-19 menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan dan integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai serantau.” kata Azmin.

RCEP merupakan satu usaha negara-negara ASEAN mengukuhkan integrasi ekonomi dan meningkatkan fasilitasi perdagangan intra-ASEAN. RCEP merupakan keseragaman FTA ASEAN+1 sedia ada yang melibatkan Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand, ke dalam satu perjanjian yang menyeluruh dan lengkap bertujuan meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan antara negara-negara peserta.

Keputusan Kerajaan Malaysia untuk menyertai rundingan adalah berdasarkan kepada keputusan Jemaah Menteri pada 16 November 2012 yang dimohon melalui Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh MITI.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *