LUNDU 12 Disember 2020 – Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyampaikan geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) kerajaan negeri Sarawak yang bernilai RM187,200 kepada 28 penduduk dan 55 badan bukan kerajaan (NGO) di sini semalam. Pemberian MRP khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan telah disampaikan kepada para penerima dalam satu majlis yang sederhana di Dewan Masyarakat Lundu.
““Kesihatan adalah sangat berharga manakala pendidikan pula dapat untuk membantu seseorang memperbaiki dirinya, baik dari segi ekonomi dan juga rohani. Sebagai wakil rakyat, saya akan sentiasa memastikan bahawa kedua-dua elemen ini akan terus diberi perhatian khusus,” kata Wan Junaidi.
Wan Junaidi, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga meminta agar perniaga-peniaga kecil dan informal mendaftar perniagaan mereka dengan pihak berwajib, supaya dapat menikmati pelbagai bantuan yang telah disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan semua agensi-agensinya.
“Dianggarkan terdapat hampir 2 juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara. Oleh kerana mereka tidak berdaftar, MEDAC tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini.
Kami sedar bahawa perniagaan Mak Cik Kiah ini sangat terjejas oleh situasi COVID-19. Kami prihatin dengan keadaan mereka dan kami ingin menolong mereka. Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan mereka agar apa sahaja bantuan yang ada dapat kita diberikan melalui saluran yang betul”
Beliau turut meminta para usahawan untuk membuat persiapan yang sewajarnya dalam migrasi operasi perniagaan mereka dari tradisional ke digital bagi memastikan kelangsungan perniagaan di era COVID-19 sekarang.
“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baru. Disebabkan dari kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian. Mereka yang enggan berubah, seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka.
Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya. Berdasarkan tinjauan yang telah kami jalankan, ada diantara peniaga-peniaga ini yang menikmati perningkatan penjualan hingga 500 peratus setelah mereka berhijrah ke perniagaan online,” ujarnya.
Leave a comment