PUTRAJAYA 14 Oktober 2020 – Berikutan aduan yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kluang pada 13 Oktober 2020 berkaitan dengan pencemaran air Sungai Sembrong Kiri yang menyebabkan air bertukar warna menjadi kehitaman, JAS Cawangan Kluang telah mengeluarkan arahan supaya operasi sebuah kilang kelapa sawit dihentikan serta merta.
“Siasatan lanjut mendapati bahawa benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit telah pecah dan JAS Cawangan Kluang telah mengeluarkan arahan supaya operasi kilang dihentikan serta merta.
Kilang kelapa sawit tersebut telah dikenakan tindakan gantung operasi selama 3 bulan dari tarikh 14 Oktober 2020 hingga 14 Januari 2021 kerana kegagalan pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen sepenuhnya terutamanya kegagalan untuk memastikan kolam-kolam pengolahan dibenteng dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.” kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim bin Tuan Man melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Menurut beliau, pencemaran tersebut turut mengakibatkan penutupan loji Semberong Timur dan menjadi punca kepada gangguan bekalan air kepada penduduk persekitaran selama beberapa jam. Pada masa ini loji telah beroperasi sepenuhnya.
“JAS Negeri Johor juga telah mengeluarkan Notis Arahan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan air dari kolam tadahan dapat dikawal daripada terus melimpah ke Sungai Sembrong Kiri.
Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan.” tegas Tuan Ibrahim.
Leave a comment