AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Suci Aidilfiri bukan untuk dicemari

235
Perbanyakkanlah amalan-amalan sunat supaya kesucian bulan Syawal dapat dirasai (Mayank Baranwal - Unsplash)

Oleh: Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam. Ia menandakan berakhirnya bulan Ramadhan sebagai kemenangan besar bagi umat Islam setelah sebulan berusaha melawan nafsu dan melaksanakan amal ibadah dengan tekun. Oleh itu, seluruh umat Islam merayakan kemeriahan dan kegembiraan bulan Syawal sebagai ungkapan kesyukuran kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“… Allah menghendaki kamu memperoleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menghadapi kesukaran. Dan supaya kamu sempurnakan bilangan puasa (di bulan Ramadan), dan supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, dan supaya kamu bersyukur” (Surah Al-Baqarah, ayat 185).

Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin

Aidilfitri merupakan perayaan terbesar yang dianugerahkan kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar tradisi, ucapan, atau hidangan makanan semata-mata. Namun Aidilfitri adalah syariat yang diturunkan oleh Allah SWT bagi umat Islam untuk mengagungkan-Nya.

Perkara yang perlu ditekankan menjelang Aidilfitri ialah bertakbir. Takbir adalah mengagungkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan dalam perjuangan melawan nafsu. Kita sangat digalakkan untuk bertakbir seawal malam 1 Syawal. Selain itu, kita juga dituntut untuk menghidupkan malam tersebut dengan amalan-amalan seperti solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat, dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah, pasti hatinya tidak akan mati pada hari yang hati manusia lainnya mati” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Namun, apa yang menyedihkan, kesucian Aidilfitri sering kali tercemar dengan mengabaikan syariat dalam merayakannya. Kita perlu mengambil berat dan prihatin tentang adab dan sunnah menyambutnya agar tidak melanggar batasan hukum syarak yang telah ditetapkan dalam Islam. Biasanya, suasana kemeriahan dalam merayakan Aidilfitri disertai dengan lagu-lagu hiburan yang bervariasi rentak dan liriknya. Namun, hal ini harus didasari oleh syariat yang benar dalam bersuka ria.

Islam memberikan ruang yang luas bagi umatnya untuk bersenang-senang, kerana Islam adalah agama yang luhur dan memahami keperluan jiwa manusia yang beragam. Hiburan bukanlah suatu kewajipan, namun ada kalanya diperlukan oleh manusia dalam situasi tertentu atau untuk menikmati kehidupan di dunia ini. Pastinya, bersenang-senang dengan adab yang baik, menjaga batas-batas syariat, serta memelihara kesucian bulan Syawal mampu memeriahkan lagi suasana Hari Raya tersebut.

Amalan ziarah telah menjadi budaya yang lazim semasa menyambut hari raya. Amalan ini sangat dituntut untuk mempereratkan hubungan silaturahim di antara sesama Muslim. Walau bagaimanapun, perlu diingat dengan teliti agar ia tidak tercemar dan menimbulkan godaan maksiat. Dalam semangat ziarah menziarahi, jangan lupa untuk mematuhi hukum halal dan haram dalam pergaulan. Misalnya, bersalaman dengan bukan mahram seperti sepupu, ipar-duai, isteri bapa saudara, atau suami ibu saudara dan sebagainya harus dihindari dan dijaga.

Selain itu, dalam adab berpakaian juga harus diperhatikan agar mematuhi hukum syarak. Rasulullah SAW memakai pakaian terbaik, tidak mesti baru, tetapi bersih dan terbaik. Pakaian yang dipakai semasa merayakan Aidilfitri haruslah menutup aurat, tidak ketat, tidak jarang, tidak membangkitkan syahwat, dan sebagainya, serta tidak melibatkan pembaziran ketika membeli pakaian tersebut.

Adab dan akhlak juga harus dijaga, di mana orang tua dihormati dan yang muda disayangi. Sabda Rasulullah SAW, “Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami” (Sunan Tirmizi). Selain itu, perlu bermaaf-maafan di antara ibu bapa, sanak saudara, jiran tetangga, dan sahabat handai. Semasa merayakan kegembiraan dan kemeriahan Syawal, kita juga perlu waspada agar menjaga anggota tubuh dari melakukan kemaksiatan seperti makan dengan rakus, berbelanja secara boros, dan bercakap tentang perkara yang tidak memberi manfaat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, “Tidaklah manusia itu akan disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan kerana hasil daripada ucapan lisan mereka”.

Akhir sekali, hati juga perlu dijaga sempena kehadiran Aidilfitri ini agar terlindung dari dosa seperti dengki, ujub, sombong, riak, dan sebagainya. Perlu diingat bahawa sifat-sifat tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada individu tersebut dan juga orang lain.

Perbanyakkanlah amalan-amalan sunat supaya kesucian bulan Syawal dapat dirasai sepenuhnya dan diberi ganjaran yang sebaik-baiknya oleh Allah SWT.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, dan maaf zahir dan batin.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di basirah@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...