BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Memiliki rumah atau terus menyewa?

302
Keputusan sama ada menjadi penyewa atau pemilik bagi sesebuah kediaman adalah sebuah keputusan yang memerlukan komitmen kewangan (Deborah Cortelazzi)

Oleh: Dr. Nurul Ashikin Alias

Pemilikan atau menyewa rumah merupakan persoalan yang sering menerjah fikiran golongan muda masa kini kerana ia melibatkan kesanggupan komitmen kewangan dalam satu tempoh masa yang cukup panjang. Isu pemilikan rumah adalah isu yang sering diperkatakan oleh golongan belia, terutamanya bagi mereka yang telah memasuki dunia pasaran kerja tetap, memiliki keluarga dan memiliki kualiti hidup yang baik.

Dr. Nurul Ashikin Alias

Pemilikan rumah merupakan salah satu perkara penting yang akan mempengaruhi kehidupan disebabkan rumah adalah bertindak sebagai tempat perlindungan, keselamatan, kebanggaan, kekayaan dan kestabilan hidup. Perkara ini juga merupakan salah satu topik yang sering menjadi fokus perdebatan di antara golongan industri yang merujuk kepada pemaju perumahan, ahli akademi dan juga di kalangan pembuat dasar.

Golongan Generasi Y yang lahir di antara tahun 1981 hingga 1995 serta sebahagian golongan awal Generasi Z merupakan golongan yang ramai terkesan dan menerima impak dengan kenaikan harga rumah pada masa kini. Masalah harga rumah yang tinggi telah menghalang mereka untuk mencapai tujuan ini. Laporan oleh pihak UTHM pada tahun 2023 menyatakan bahawa kenaikan harga rumah dari semasa ke semasa telah menjejaskan kemampuan pembelian rumah, terutamanya bagi golongan belia Bumiputera yang berpendapatan rendah.

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh Nasdaq pada 27 Ogos 2023, menyatakan bahawa peratusan pemilikan aset kekayaan mengikut generasi adalah berbeza. Bagi generasi ‘baby boomers’ adalah sebanyak 50%, Generasi X (29.5%) dan Generasi Y (8.5%). Manakala peratusan pemilikan aset bagi Generasi silent yang lahir sebelum golongan baby boomers adalah sebanyak 12%.

Industri perumahan kini adalah berkembang pesat seiring dengan peredaran masa. Di Malaysia terdapat banyak syarikat pemaju perumahan. Beratus-ratus syarikat yang terlibat dalam aktiviti peniagaan dan pembangunan harta tanah yang telah berdaftar dengan REHDA Malaysia berdasarkan data yang telah dikemaskini pada 2 Disember 2023. Setiap tahun begitu banyak unit perumahan yang dibina, terutamanya di kawasan bandar-bandar besar.

Merujuk kepada Laporan Pasaran Harta Tanah bagi separuh penggal ketiga pada tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan sebanyak 31,092 buah unit kediaman siap dibina tidak terjual bagi tempoh masa itu dengan nilai RM18.96 bilion. Situasi ini menimbulkan tanda tanya apabila masih ada pemaju perumahan yang masih membangunkan harta tanah kediaman sedangkan masih terdapat banyak bilangan unit rumah yang belum terjual.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh The Edge Malaysia pada 25 Disember 2023 menunjukkan perbandingan perubahan harga rumah di Malaysia dalam tempoh 35 tahun yang bermula pada harga RM 510,000 sehinggan mampu mencecah nilai RM 2,047,645. Ditambah lagi dengan kos penyelenggaraan perumahan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Merujuk kepada artikel tersebut dapat dilihat bahawa pada peringkat awalnya seseorang individu sememangnya mampu untuk menyimpan wang sekiranya individu tersebut hanya bertindak menyewa sesebuah rumah sebagai tempat tinggal bagi tempoh 35 tahun.

Namun, keadaan ini tidak berkekalan kerana pada tahun ke-19 jumlah wang simpanan hasil daripada lebihan wang menyewa rumah akan mula menunjukkan trend penurunan di mana jumlah tersebut akan mula mencapai nilai negatif pada tahun ke-28 dan seterusnya. Maka di sini dapat dilihat kekurangan yang akan berlaku kepada penyewa sekiranya proses menyewa sesebuah rumah berlaku dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Bagi golongan yang memilih untuk memiliki sebuah aset harta tanah sudah pastinya akan memerlukan sejumlah wang yang besar sebagai bayaran pendahuluan. Keadaan ini disebabkan oleh bayaran pinjaman perumahan yang perlu dilunaskan setiap bulan, ditambah lagi dengan kos-kos sampingan lain seperti insurans, pembaikan dan penyelenggaraan, serta taksiran dan cukai harta. Manakala, bagi golongan yang memilih untuk terus menyewa unit kediaman pula tidak akan terdedah kepada risiko-risiko di atas kerana risiko tersebut adalah perlu ditanggung oleh pemilik unit kediaman. Keadaan ini memperlihatkan bahawa situasi penyewa kediaman adalah bersifat lebih fleksibel, melibatkan pengurusan jangka masa pendek serta bebas tekanan sekiranya memilih untuk berpindah ke kawasan yang baru.

Namun, pada satu sisi yang lain, golongan penyewa adalah lebih terdedah kepada risiko inflasi kewangan terutamanya apabila berlaku peningkatan kadar sewaan yang lebih tinggi pada masa akan datang. Di mana pada keadaan ini, penyewa masih perlu terus membayar kadar sewaan tersebut disebabkan keperluan untuk mendapatkan tempat perlindungan. Keadaan ini adalah lebih serius apabila melibatkan golongan warga emas yang telah bersara dan tidak bekerja, namun masih perlu membayar sewa rumah pada masa yang sama.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa keputusan sama ada menjadi penyewa atau pemilik bagi sesebuah kediaman harta tanah adalah merupakan sebuah keputusan yang cukup besar dan memerlukan komitmen kewangan yang tinggi bagi suatu tempoh jangka masa panjang. Dapat dilihat secara jelas bahawa terdapatnya kebaikan dan keburukan bagi kedua-dua sisi sama ada sebagai pemilik atau penyewa kepada sesebuah unit perumahan.

Namun, dari satu perspektif yang lain saya berpendapat adalah lebih baik untuk menjadi pemilik rumah berbanding penyewa kerana sekurangnya anda mempunyai tempat untuk berlindung yang selesa tanpa perlu berpindah randah untuk suatu tempoh. Walaubagaimanapun, ramai golongan muda pada masa kini yang memperuntukan sebahagian besar sumber kewangan mereka bagi memenuhi keinginan cara hidup masa kini, sama ada membeli barangan berjenama, makanan dan minuman hipster. Keadaan ini tentunya akan menjadi halangan tambahan bagi generasi kini untuk memiliki unit kediaman mereka sendiri.

……

Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di uacds@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...