AMPolitik @ My LNA

PKR tidak akan bertanding di PRK Chini

87

PKR dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mengambil keputusan tidak akan meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN N23 Chini, dalam Parlimen Pekan, Pahang Darul Makmur.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun usaha gigih Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan telah berupaya mengekang penularan yang lebih meluas tetapi wabak Covid-19 masih belum ditangani sepenuhnya.

“PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei yang lepas.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub menyarankan agar PH, gabungan yang dianggotai PKR, tidak meletakkan calon.

Mustapha berkata ini kerana PH tidak mampu untuk menandingi kekuatan gabungan BN dan PAS, selain Chini telah sekian lama menjadi kubu kuat BN.

PAS pula sebelum ini telah mengumumkan tidak akan meletakkan calon di PRK itu dan akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN), gabungan baru yang dianggotai BN.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sebelum ini mencadangkan PH bertanding demi “mempertahankan prinsip”.

Menurut Khalid, adalah menjadi tanggungjawab PH membawa mesej kepada rakyat untuk mewujudkan pentadbiran bersih dan bebas rasuah menerusi setiap pilihan raya termasuk PRK Chini.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14, Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Chini yang disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pada pertembungan itu, beliau menewaskan wakil Gabungan Sejahtera (GS) daripada PAS, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim, yang memperoleh 4,622 undi dan wakil PKR yang mewakili Pakatan Harapan, Mohamad Razali Ithnain, yang mendapat 1,065 undi.

Kerusi Parlimen Pekan dikuasai penyandangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama 11 penggal berturut-turut.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini telah menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat pendidikan secukupnya?

Oleh: Dr Abd Razak Zakaria Laporan daripada Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran...

AMBM @ MY LNAPerladangan & Komoditi @ My LNAUTAMA

KitKat® Dark 52% guna 100% biji koko Malaysia

NILAI. 6 Mei 2024 – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari...

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNASekuriti Makanan @ My LNASukarelawan @ My LNAUTAMA

Mahasiswa UM menyelamat sayur dan buah-buahan

Menurut laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia...