oleh Ghafar NS
Koronavirus (2019-nCoV) bukan sahaja mencetuskan darurat kesihatan awam seperti mana yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tetapi turut menimbulkan Xenofobia dan isu perkauman di seluruh dunia.
Sebelum ini, ada beberapa virus menakutkan yang tersebar ke serata dunia. Virus Ebola yang tersebar melalui Afrika Barat contohnya tidak mempunyai vaksin atau rawatan penyembuhan. Selain Ebola, ada virus Rabies menular di India dan sebahagian Afrika yang menyerang haiwan peliharaan. Jika seseorang digigit oleh haiwan peliharaan yang dijangkiti Rabies lalu tidak mendapatkan rawatan, individu itu pasti meninggal dunia.
Tapi, ketika itu tidak pernah isu perkauman ditimbulkan seperti mana masyarakat dunia memandang dan menerima Koronavirus yang datang dari China. Banyak laporan berita dari serata dunia memperlihatkan pelbagai reaksi masyarakat setempat terhadap virus ini hingga ada sesetengah daripada masyarakat China yang belajar, menetap atau melancong di negara lain menyatakan layanan berbeza diterima serta turut dipinggirkan.
Semuanya bermula dengan penularan video dan foto warga China menikmati hidangan sup kelawar. Kemudian, berita Koronavirus menyerang warga China khususnya di Hubei sampai ke warganet. Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China, Gao Fu pula menyatakan kemungkinan Koronavirus tersebar melalui haiwan liar dan eksotik seperti buaya, salamander gergasi, ular, tikus dan burung merak yang dijual di pasar makanan laut. Ini mencetuskan pelbagai reaksi hinggalah Xenofobia dan isu perkauman muncul di celah-celah kemelut Koronavirus.
Xenofibia bermaksud perasaan yang sangat takut atau benci terhadap orang asing. Sejak penularan Koronavirus, sikap takut atau benci terhadap pelancong China sangat berlebihan melalui kenyataan masyarakat di media sosial. Sesetengahnya pula mengaitkan penduduk tetap China dengan masyarakat Cina di Malaysia. Perkara ini merupakan satu hal yang tidak patut dan rasis.
Pihak tidak bertangungjawab ini ibarat gunting dalam lipatan yang cuba mewujudkan perasaan benci, ketegangan kaum dan mengkucar-kacirkan keamanan negara. Sesetengahnya pula melemparkan mesej-mesej negatif terhadap DAP yang digambarkan sebagai sebuah parti politik Cauvanis (walaupun tiada kaitan).
“Elak pergi mall. Yang penting nampak sepet auto elak, terus tutup mulut dan hidung.” Ini merupakan salah satu komen diambil daripada ‘page’ Facebook DAP yang berkongsikan peringatan untuk melindungi diri daripada Koronavirus. Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan masyarakat peka terhadap isu Koronavirus. Namun dapat dilihat ada ‘tangan jahat’ berusaha menyuntik isu perkauman dan ini pastinya menyukarkan kerajaan menangani operasi penularan Koronavirus.
Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia yang diterajui Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam mencegah virus ini daripada terus merebak perlu dipuji. Usah sukarkan lagi tugas mereka dengan permainan kotor membisikkan suara halus yang boleh mencetus perselisihan kaum dan Xenofobia di negara ini.
Kredit : RoketKini
Leave a comment